Maria Chin berdepan realiti sebenar


The Malaysian Insight

APABILA Maria Chin memutuskan untuk bertanding di kerusi Parlimen Bukit Gasing pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau mempertaruhkan manifesto untuk memenangi isu nasional.

Namun beberapa hari selepas memenangi kerusi bandar itu, bekas pengerusi Bersih berkenaan diberikan realiti sebenar masalah penduduk di kawasannya.

Penduduk di kawasannya membanjiri pejabat sementaranya di Jalan Gasing, Petaling Jaya dan memintanya menyelesaikan masalah berkaitan pendidikan, kemiskinan, kewarganegaraan dan pengangkutan.

Kesemua isu ini tiada dalam manifesto beliau.

Apa yang paling mengejutkan beliau terdapat 86 sekolah kebangsaan di kawasannya dan 13 daripadanya memerlukan pembaikan yang kritikal. Tambah pula tiada bajet untuk kerja pembaikan di sekolah.

Beliau berkata sekolah-sekolah ini berada di kawasan Petaling Jaya yang mewah dan pegawai pendidikan daerah memberitahu mereka tidak menerima peruntukan untuk menjalankan pembaikan.

“Saya pergi melihat sekolah (kebangsaan) yang berusia lebih 50 tahun. Keadaannya sangat teruk dan memerlukan banyak bantuan.

“Makmal sains tiada paip air. Apabila pelajar mahu menjalankan eksperimen, mereka perlu membawa baldi dan mengangkut air ke makmal sains. Keadaan itu sudah berlarutan sejak bertahun lamanya,” kata Maria kepada Malaysia Decides.

Maria dan Adun Bukit Gasing R Rajiv melawat sebuah sekolah, SMK (P) Taman Petaling, bersama pegawai daerah Petaling Utama.

Guru turut mengadu tentang kebocoran bumbung, pintu yang rosak, masalah pendawaian elektrik dan anai-anai.

“Jika kamu bercakap tentang kualiti pendidikan, strukturnya langsung tiada persekitaran yang kondusif (untuk anak-anak belajar),” kata Maria.

Maria turut memaklumkan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berhubung masalah itu.

Sementara itu, kanak-kanak yang tiada kewarganegaraan yang dilahirkan ibu bapa warga Malaysia dan menetap di kawasan perumahan kos rendah d Petaling Jaya turut didekati oleh Maria.

“Ramai yang tidak mempunyai kad pengenalan atau memegang kad pengenalan hijau yang saya sendiri tidak tahu ia wujud. Seorang ibu membawa anaknya yang sudah berusia 20 tahun, tetapi tiada pelajaran.

“Sama juga dengan seorang kanak-kanak berusia 7 tahun, tidak pernah ke sekolah kerana sijil kelahirannya menyatakan bukan warganegara. Kedua-dua ibu bapa merupakan rakyat Malaysia, rakyat Malaysia berketurunan India. Ini terdapat masalah birokrasi,” kata Maria.

Beliau turut menghubungi Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin untuk melihat permasalahan itu.

Maria berkata beliau juga sedar kemiskinan di Taman Medan, Lembah Subang dan Kampung Lindungan.

Beliau berhasrat untuk mengguna pakai cara Pulau Pinang meningkatkan kualiti hidup bagi penduduk flat kos rendah, yang kebanyakannya pekerja kolar biru dengan pendapatan isi rumah bulanan RM2,500 atau kurang.

“Pulau Pinang mencuba pendekatan partisipatori ini dengan beberapa flat PPR, di mana masyarakat mengambil alih untuk membersihkan (rumah pangsa), menentukan belanjawan, mengambil pemilikan bagaimana mereka mahu menguruskan rumah pangsa,” katanya.

Beliau terpaksa mengetepikan dulu janji manifestonya untuk menyelesaikan isu sebenar rakyat di kawasan Parlimen itu.

Buat masa ini, beliau terpaksa berhadapan dengan kira-kira 140,000 penduduk dengan keperluan yang lebih mendesak, sesuatu yang dia tidak jangkakan ketika dia mengambil cabaran untuk menjadi ahli Parlimen persekutuan. – 25 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen