Amanah semakin diterima selepas kemenangan PRU14 


The Malaysian Insight

MENJELANG Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), merupakan tempoh yang baik untuk Amanah apabila menerima 20 permohonan untuk menyertai parti berusia dua tahun itu.

Kini permohonan untuk menyertai parti itu kira-kira 1,000 permohonan sehari.

Alasan yang menarik minat mereka: kekuatan parti yang ditunjukkan menerusi undi.

Tambahan pula, untuk memenangi 11 kerusi Parlimen dan 34 kerusi Dewan Undangan Negeri, Amanah turut mempuyai tiga menteri Kabinet, seorang ketua menteri dan 14 exco kerajaan negeri.

Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir berkata sebelum PRU14, parti itu memiliki kira-kira 100,000 ahli.

“Namun sejak minggu lalu, terdapat kira-kira 1,000 permohonan dihantar kepada parti itu dalam sehari, berbanding sekitar 20 permohonan menjelang PRU14,” katanya.

Kesemua bahagian dan negeri melaporkan peningkatan dalam permintaan borang keahlian, katanya.

“Di Temerloh saja, 5,000 borang diagihkan semalam,” kata Anuar, yang juga ahli Parlimen Temerloh.

Kebanyakan mereka yang memohon untuk menyertai parti itu bekas ahli PAS, katanya.

“Terdapat juga ahli Umno, Cina dan juga India. Saya juga sedang berusaha untuk menarik masyarakat Orang Asli menjadi ahli Amanah,” kata Anuar kepada Malaysia Decides.

Sejak berpecah daripada parti Islam PAS, Amanah bertungkus lumus untuk meningkatkan jumlah ahlinya.

Anuar berkata kebanyakan ahli PAS meluahkan hasrat mereka untuk menyertai Amanah sebelum PRU14, namun bimbang diserang atau dihina. Mereka ketika itu turut tertanya-tanya kemampuan parti pecahan PAS itu, selepas menyedari prestasi calon Amanah yang kurang memuaskan pada dua pilihan raya kecil setahun sebelum PRU14.

“Namun selepas kami buktikan kami di landasan yang betul, dan menang besar pada pilihan raya umum serta mempunyai kedudukan kukuh dalam kerajaan, semua keraguan untuk menyertai Amanah hilang,” katanya.

Tiga pemimpin utama Amanah iaitu Mohamad Sabu, Salahudin Ayub dan Dr Dzukefly Ahmad dilantik sebagai menteri dalam pentadbiran kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Amanah Melaka Adly Zahary kini ketua menteri Melaka selepas pakatan itu merampas negeri berkenaan daripada Barisan Nasional.

sementara itu, 14 lagi pemimpin Amanah negeri dilantik sebagai ahli exco di negeri yang diterajui PH iaitu di Johor (3), Negeri Sembilan (2), Melaka (1), Selangor (2), Perak (3) dan Kedah (3). – 25 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen