BEKAS menteri kerja raya, Fadillah Yusof menafikan dakwaan di media sosial bahawa abangnya, Bustari Yusof, ahli perniagaan Sarawak dan orang kepercayaan bekas perdana menteri Najib Razak melarikan diri dari negara ini.
Seorang rakan yang rapat dengan keluarganya juga mengesahkan Bustari yang pernah dikatakan menjadi orang rujukan Najib masih berada di Malaysia.
“Dia hanya mendiamkan diri. Dia tak bersembunyi dan saya tak akan beritahu sama ada dia berada di Kuala Lumpur atau Kuching,” beritahu rakan keluarga Bustari dengan syarat tidak mahu dinamakan.
Posting mengenai Bustari dikongsikan di media sejak minggu lalu. Ia menyebut Bustari, 65, melarikan diri bersama “berbilion ringgit” yang sepatutnya untuk dibayar kepada kontraktor Lebuh Raya Pan-Borneo di Sarawak.
Fadillah yang juga ahli Parlimen Petra Jaya dipetik oleh Daily Borneo Post sebagai berkata dakwaan terhadap abangnya itu “pembohongan bertujuan untuk memfitnahnya” dan “diada-adakan untuk mendatangkan kebencian”.
Posting itu menyebut sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Bustari dibayar RM4 bilion oleh Kementerian Kewangan tetapi sub-kontraktor tidak dibayar “walau sesen” atas tuntutan mereka dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat kos sebenar projek tersebut.
Menurut posting itu lagi, disebabkan oleh siasatan SPRM itu, Kementerian Kewangan terpaksa menghentikan pembayaran kepada rakan kongsi Lebuh Raya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU).
Pegawai Perhubungan Awam LBU Kelvin Yeo ketika bercakap kepada Malaysia Decides, menafikan Bustari mempunyai kaitan dengan LBU.
“LBU dimiliki Maltimur Resources Sdn Bhd dan Jalinan Rejang Sdn Bhd, dan dia tidak memiliki syarikat-syarikat berkenaan mahupun menduduki lembaga pengarah.
“Dia tiada kena mengena.”
Yeo juga menafikan dakwaan kontraktor tidak dibayar dan berkata lebih RM2 bilion sudah dibayar, menyetujui kenyataan Fadillah bahawa RM2.54 bilion telah dibelanjakan bagi tujuan itu.
“Bukan LBU yang buat pembayaran, tetapi Kementerian Kewangan.
“Kementerian membayar terus kepada kontraktor. Ada 11 kontraktor dan mereka bayar sub-kontraktor mereka.”
Lebuh Raya Pan-Borneo, bermula dari Telok Melano ke selatan Sarawak hingga ke Sabah, dibina dengan kos RM27 bilion.
Fadillah berkata lebuh raya sepanjang 936km di Sarawak menelan kos RM12.5 bilion. Ia bersambung sepanjang 727km lagi di Sabah. – 24 Mei, 2018.
Komen