Umno dakwa wang lebih RM100 juta dirampas polis milik parti


The Malaysian Insight

DUIT yang dirampas oleh polis dalam beberapa serbuan ke atas pemimpin Umno baru-baru ini adalah dana politik untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) serta pengurusan parti, kata Umno.

Parti itu kesal dengan tindakan polis merampas dana berkenaan yang didakwa dalam proses untuk dipindahkan kepada kepimpinan baharu selepas bekas perdana menteri Najib Razak melepaskan jawatan sebagai presiden Umno.

Kenyataan yang dikeluarkan unit komunikasi strategik parti itu menyebut, perolehan dan pengurusan dana berkenaan merupakan tanggungjawab presiden Umno seperti yang termaktub dalam Perlembagaan parti.

“Dana sumbangan kepada parti politik ini diterima oleh semua parti politik di negara ini dan hal ini tidak ada bezanya dengan Umno di mana mantan presiden kita iaitu Najib Razak mendapatkan sumbangan dana untuk kempen sebelum PRU14 dan juga dana untuk menguruskan parti,” kenyataan itu dipetik.

Umno turut mendakwa bekas presidennya Dr Mahathir Mohamad juga pernah terlibat dengan pengendalian dana parti berjumlah RM1.2 bilion.

“Semasa mantan presiden Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai presiden kita, beliau juga menyerahkan RM1.2 bilion kepada parti dan tiga juta ahli,” kata parti itu.

Kenyataan itu timbul susulan serbuan dilakukan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam operasi melibat pemimpin parti, termasuk bekas presiden Najib.

Polis merampas wang tunai berjumlah lebih RM120 juta selain barang kemas dan beg berjenama mewah dari kediaman dikaitkan dengan Najib dalam operasi bermula 12 Mei lalu.

Najib yang kini disiasat SPRM, meletak jawatan presiden Umno dan pengerusi BN pada pada tarikh tersebut, tiga hari selepas Pakatan Harapan merampas Putrajaya dalam PRU14.

Najib disiasat SPRM berhubung kes akaun didakwa masuk ke akaun peribadinya dari SRC International.

Pada Selasa lalu pula, SPRM merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM500,000 dari seorang lagi pemimpin kanan Umno, Abdul Azeez Rahim yang juga ahli Parlimen Baling.– 24 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen