HANYA Jho Low yang tahu segala-galanya mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata wartawan Wall Street Journal, malah beliau meragui Najib Razak tahu semuanya.
Tom Wright, pada pertengahan 2015 mendedahkan kisah AS$681 juta dana 1MDB dipindahkan ke dalam akaun bekas perdana menteri Najib Razak, berkata hanya ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu yang cukup arif mengenai “penipuan” untuk membelanjakan berbilion duit pembayar cukai.
“Hanya Jho Low yang tahu segala-galanya mengenai apa yang berlaku,” kata Wright dalam satu temu bual bersama stesen radio BFM hari ini.
“Susah nak tahu sama ada Najib tahu 100% mengenai apa yang sedang berlaku,” katanya mengenai skandal yang kini masuk tahun keenam.
Kata Wright, Jho Low yang nama sebenarnya Low Taek Jho, telah cuba meminta pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump campur tangan sebelum pilihan raya.
“Tetapi sebaliknya, perkembangan di Malaysia begitu mengejutkan,” katanya sambil menambah keutamaan kerajaan harus membawa balik Jho Low ke Malaysia bagi menjawab semua persoalan.
“Persoalannya, di mana Jho Low? Macau, Hong Kong, Shanghai atau Thailand? Adakah (Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad akan berusaha membawanya balik,” kata Wright.
Wright turut memetik bukunya “Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood” yang ditulis bersama wartawan WSJ, Bradley Hope yang akan dikeluarkan pada 18 September tahun ini.
Katanya, buku tersebut akan menerangkan apa yang mendorong Jho Low.
“Kami mahu tunjukkan momen manusia. Sebenarnya, menceritakan kisah mengenai siapa lelaki ini dan apa yang mendorongnya.
“Satu perkara yang kita tak tahu pada mulanya ialah mengenai Hollywood. Kalau anda ada duit seperti Jho Low, bagaimana anda akan masuk ke dalamnya?
“Kami tahu dia melepak dengan Paris Hilton dan Jamie Foxx. Kami hendak tunjukkan bagaimana dia masuk dan menjadi tumpuan Hollywood.”
Wright berkata sejak itu rakan-rakan Jho Low menyekatnya di WhatsApp, dia masih menganjurkan parti seperti baru-baru ini pada Februari dengan selebriti seperti Nicole Scherzinger.
“Satu hal yang mengagumkan, walaupun pada akhirnya, apabila The Edge melaporkan (mengenai percanggahan), Jho Low terus mengumpul duit, menggunakannya untuk membeli Equanimity. Dia tak mengalah.”
Penerbit Hachette Books menggambarkan buku itu sebagai “satu kisah epik nyata mengenai kemegahan diri dan ketamakan seorang pengejar taraf yang muda dalam satu daripada rompakan wang terbesar dalam sejarah – terang-terangan dalam industri kewangan global – mendedahkan hubungan rahsia mengejutkan tentang kekayaan elit, perbankan, Hollywood dan politik.” – 24 Mei, 2018.
Komen