KETIKA Barisan Nasional dan Umno menjenamakan semula mereka sebagai parti pembangkang di peringkat persekutuan, BN Pulau Pinang perlu bekerja sebagai pembangkang di luar Dewan Undangan Negeri.
Ia berharap untuk memperkukuhkan barisan 10 perwakilan mereka dalam sidang dewan yang didominasi Pakatan Harapan, namun berakhir dengan kehilangan lebih banyak kerusi dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang berpengalaman menyebabkan hanya dua perwakilan yang tinggal.
Bekas setiausaha eksekutif BN Pulau Pinang Azizi Safar berkata, berperanan sebagai pembangkang di dewan undangan negeri merupakan satu-satunya cara untuk memberi check and balance.
“BN akan memeriksa kerajaan negeri menerusi luar persidangan. Kami akan terus membangkitkan isu..kami cuma berharap tidak disaman.
“Sidang Dewan Undangan Negeri hanya dua kali setahun..kami hanya berada di Dewan 14 hingga 20 hari setahun,” kata Azizi, yang merupakan pemerhati politik berpengalaman dengan kerja dalaman BN Pulau Pinang.
PH mendominasi 49 kerusi negeri dengan 37 penyokong kerajaan daripada DAP, PKR, Bersatu dan Amanah. Pada PRU13, PH memenangi 30 kerusi manakala BN, 10.
Selepas pilihan raya 9 Mei, dua perwakilan BN yang tinggal adalah Adun Sungai Dua Muhamad Yusoff Mohd Noor dan Adun Permatang Berangan yang merupakan muka baharu Nor Hafizah Othman. Seorang lagi perwakilan pembangkang adalah wakil PAS Yusni Mat Piah yang memegang kerusi Penaga.
Yusoff, merupakan yang paling berpengalaman dalam kalangan tiga penyokong pembangkang, berkata tiada keputusan dibuat sama ada beliau akan mengambil jawatan, yang juga akan bertanggunggjawab sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) Negeri.
Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Jason Loo, yang berdepan saman fitnah oleh bekas ketua menteri negeri itu Lim Guan Eng berhubung kenyataan yang dibuat ketika membangkitkan isu tanah, juga berkata beliau berhasrat untuk membangkitkan isu apabila diperlukan bagi lima tahun akan datang.
Loo, yang merupakan calon BN Pulau Tikus berkata, tugas itu “sangat berat” dan ia sangat sukar apabila merasa tawar hati, selepas BN tewas begitu banyak kerusi dengan Gerakan gagal mempertahankan walau satu kerusi, namun mereka tidak akan mengalah.
Ketua menteri Chow Kon Yeow dalam temubual dengan Malaysia Decides baru-baru ini berkata, BN tidak boleh mengalah walaupun mereka hanya ada dua kerusi.
Katanya, sebelum ini DAP pernah menjadi pembangkang hanya dengan seorang Adun di Pulau Pinang.
“Ianya sukar menjadi pembangkang. Percayalah. Kami tahu. DAP tidak pernah mengalah.
“BN perlu ubah pemikiran dan cara operasi, selesaikan isu rakyat dan berikan check and balance. Mereka akan dapat sokongan rakyat,” katanya.
Sidang Dewan Undangan Negeri seterusnya dijangka diadakan pada awal Ogos. – 24 Mei, 2018.
Komen