Wanita DAP gesa kerajaan segera tangani buli di sekolah


Looi Sue-Chern

Naib Pengerusi Wanita DAP Hannah Yeoh berkata Malaysia perlu berhenti menggunakan alasan tidak cukup bajet dan kepakaran untuk tidak bertindak menangani masalah buli di sekolah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2017.

SUSULAN serangan terhadap dua remaja lelaki di Pulau Pinang, di mana salah seorang daripadanya cedera teruk sehingga mati otak, Wanita DAP mendesak kerajaan memastikan keselamatan dan kesejahteraan belia di Malaysia sebagai satu keutamaan.

Naib Pengerusi Wanita DAP Hannah Yeoh berkata sekarang masanya untuk Malaysia berhenti menggunakan alasan tidak cukup bajet dan kepakaran untuk tidak melakukan apa-apa dalam menangani masalah buli di sekolah.

Beliau berkata amat penting untuk sekolah melaporkan dan menyiasat setiap kes buli tanpa bimbang laporan sedemikian akan menjejaskan penarafan kedudukan mereka, atau mencari jalan mudah dengan menukarkan pelajar bermasalah ke tempat lain.

“Sekolah perlu ada program sifar-toleransi yang dengan jelas menyatakan tidak ada tolak ansur terhadap apa juga jenis buli.

“Sekolah dan guru perlu dilengkapkan dengan sumber mencukupi termasuk peralatan, kemahiran dan kemudahan kaunseling untuk menangani insiden buli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yeoh yang juga speaker DUN Selangor berkata persatuan ibu bapa dan guru juga perlu kerap bertemu untuk membincangkan aduan pelajar dan ibu bapa secara telus.

“Bila anak kita ke sekolah, kita mengharapkan mereka pulang ke rumah dengan selamat,” katanya.

Yeoh berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai remaja berusia 18 tahun dan rakannya berusia 19 tahun yang dipukul oleh bekas rakan sekolah dan rakan mereka, Jumaat lalu.

Salah seorang mangsa berjaya melepaskan diri sementara seorang lagi ditangkap sekumpulan pembuli dan dibelasah. Ketika mangsa tiba di Hospital Pulau Pinang awal pagi Sabtu, dia sudah pun tidak sedarkan diri.

Doktor mengisytiharkan mangsa mati otak tidak lama kemudian. Mangsa juga mengalami kecederaan di dubur dan kemaluan, selain kesan terbakar di tubuhnya.

Pagi tadi, polis berkata serangan berlaku selepas dua mangsa bertembung dengan dua remaja lain yang juga bekas rakan sekolah mereka, di sebuah gerai burger.

Polis setakat ini menahan lima remaja lelaki yang dikatakan terbabit memukul dua mangsa terbabit.

Yeoh berkata perbuatan buli di sekolah sedang meningkat, dan kejadian serangan terhadap remaja di Pulau Pinang itu boleh dicegah jika tindakan diambil terlebih dulu.

“Saya menggesa Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan untuk memastikan setiap aduan atau laporan polis berkaitan buli disiasat. Tindakan perlu diambil dan amaran keras diberikan kepada pembuli,” katanya. – 13 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen