HUTANG Malaysia sebanyak RM1 trilion adalah termasuk RM686.8 bilion hutang Persekutuan, RM199.1 bilion dalam bentuk jaminan dan RM201.4 bilion untuk projek usahama awam-swasta, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini.
Pendedahan Lim ini menjawab kenyataan bekas perdana menteri Najib Razak semalam yang berkata angka itu “hanya akan menjejaskan pasaran kewangan, membimbangkan penarafan kredit dan keyakina pelabur terhadap institusi negara seperti Bank Negara Malaysia”.
“Kita mahu mewujudkan asas sebenar mengenai urusan kewangan, mengenal pasti masalah dan kemudian menetapkan semua pemulihan yang perlu,” kata Lim dalam satu kenyataan.
Beliau berkata Hutang Kerajaan Persekutuan rasmi pada RM686.8 bilion adalah 50.8% daripada KDNK dan kerajaan komited untuk membayar jaminan bagi entiti yang gagal membayar hutang, berjumlah RM199.1 bilion atau 14.6% daripada KDNK.
Jaminan kerajaan termasuk entiti seperti Danainfra Nasional Bhd (RM42.2 bilion), Govco Holdings Bhd (RM8.8 bilion), Prasarana Malaysia Bhd (RM26.6 bilion), Malaysia Rail-link Sdn Bhd (RM14.5 bilion) serta kira-kira RM38 bilion untuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Berdasarkan dua perkara di atas, hutang Kerajaan Persekutuan adalah berjumlah RM885.9 bilion. Ini mewakili 65.4% daripada KDNK yang ditekankan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam,” kata Lim.
Tetapi, beliau berkata Putrajaya juga komited memajakkan pinjaman termasuk sewa, penyelenggaraan dan caj-caj lain, untuk “kesemua senarai projek Kerjasama Awam Swasta (PPP) seperti pembinaan sekolah, asrama, jalan raya, balai polis, hospital dan lain-lain”.
Beliau menyatakan bahawa pajakan ini direka khas untuk mengelak jaminan dan had hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM201.4 bilion atau 14.9% daripada KDNK, menaikkan jumlah hutang kepada RM1,087.3 bilion atau 80.3% daripada KDNK pada 31 Disember 2017.
“Bagaimanapun, biar saya tekankan bahawa hutang Kerajaan Persekutuan tidak berubah sebelum 9 Mei dan selepas pilihan raya.
“Satu-satunya yang berubah ialah Kerajaan Persekutuan yang baharu telah memutuskan untuk berterus-terang. Kerajaan baharu ini mengutamakan kepentingan rakyat, jadi, perlu membuat keputusan yang sukar sekarang, bekerja keras untuk selesaikan masalah kita, daripada membiarkan ia membawa kesan buruk di kemudian hari,” kata Lim.
Beliau berkata “keputusan ini untuk memberitahu kebenaran yang mungkin mengejutkan” Najib tetapi “kami amat yakin bahawa dalam jangka masa pertengahan, dengan mengenal pasti keadaan hutang sebenar hari ini, ia akan membolehkan Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan konkrit untuk mengurus dan mengukuhkan kedudukan kewangan kita”.
Lim berkata angka-angka tersebut dijumlah oleh pegawai-pegawai Perbendaharaan yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Siti Zauyah Mohd Desa.
“Ini dilakukan tanpa sebarang campur tangan dari ahli politik yang cuma memanipulasi angka dan menyembunyikan hutang sebenar.
“Setelah bekerja secara intensif dengan pasukan Perbendaharaan sejak beberapa hari lalu, termasuk mendengar pelbagai cadangan dan usul bagi menyelesaikan cabaran sukar ini, saya yakin kita mampu mengatasinya,” katanya.
Lim juga menekankan bahawa asas ekonomi masih kukuh.
“Dengan komitmen kerajaan baharu serta sokogan dari rakyat Malaysia di seluruh negara, kita pasti akan berjaya menyelamatkan negara,” kata Lim. – 24 Mei, 2018.
Komen