PETUGAS Khas 1MDB mendedahkan, penyiasat Malaysia tidak bekerjasama dengan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat semasa pentadbiran Najib Razak kerana didakwa akan mengganggu siasatan.
Permohonan pertama melibatkan surat DoJ kepada ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) waktu itu, Dzulkifli Ahmad bertarikh 13 November 2016, yang tidak mendapat maklum balas sehingga hari ini.
Satu lagi permohonan dikemukakan DoJ pada 22 September 2016 kepada peguam negara waktu itu, Apandi Ali.
“Permohonan ini tidak dipenuhi dan ditangguhkan atas alasan ia akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa di Malaysia. Oleh itu tiada kerjasama diberikan sehingga hari ini,” kenyataan Petugas Khas 1MDB dipetik.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan pertemuan di antara ahli Pasukan Petugas Khas 1MDB dengan para pegawai DoJ dan Federal Bureau of Investigation (FBI) AS di ibu negara hari ini.
Ia dipengerusikan bersama oleh anggota Petugas Khas 1MDB – Abdul Gani Patail, Abu Kassim Mohamed, Mohd Shukri Abdull dan Abdul Hamid Bador.– 24 Mei, 2018.
Komen