MENTERI Kewangan Lim Guan Eng percaya Bank Negara Malaysia dan Khazanah Malaysia ditekan oleh pihak tertentu untuk menyalurkan dana bagi membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau juga percaya pegawai tertinggi agensi terbabit akan dikenakan tindakan sekiranya mengingkari arahan.
“Terdapat banyak tekanan (daripada pihak tertentu). Jika tidak, mereka tidak akan membuat bayaran (kepada 1MDB).
“Bagaimanapun terdapat kelulusan bertulis memandangkan ia melibatkan wang berbilion ringgit,” katanya dalam sidang media di kementeriannya petang ini.
Terdahulu, Lim mengesahkan laporan media hari ini bahawa Kementerian Kewangan sebelum ini telah menggunakan wang dari Bank Negara Malayisa dan Khazanah Nasional untuk membayar hutang ditanggung 1MDB.
Katanya, kementerian itu membuat bayaran bagi pihak 1MDB berjumlah RM6,975.14 juta ekoran kegagalan syarikat tersebut untuk membuat bayaran.
Jelasnya, ia termasuk bayaran yang dibuat kepada International Petroleum Investment Company PJSC (IPIC).
Bayaran kepada IPIC itu merupakan sebahagian daripada perjanjian penyelesaian berjumlah RM5.05 bilion.
Katanya, sumber wang untuk bayaran kepada IPIC/Aaabar dan juga bagi pihak 1MDB itu turut melibatkan wang yang diperolehi daripada Khazanah dan Bank Negara.– 24 Mei, 2018.
Komen