Tangguh kes hasutan, tunggu kajian semula, kata ahli Parlimen 


The Malaysian Insight

KAJIAN semula terhadap Akta Hasutan oleh kerajaan persekutuan yang baharu, semua kes mahkamah di bawah akta berkenaan perlu ditangguhkan, kata peguam DAP Ramkarpal Singh.

Beliau yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor dalam satu kenyataan hari ini berkata, mahkamah perlu menangguhkan kes memandangkan kajian semula terhadap akta berkenaan, yang digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini sebagai alat politik untuk menghalang perbezaan pendapat.

“Kebanyakan kes di bawah Akta Hasutan masih dalam perbicaraan di mahkamah, dan jelas sekali kebanyakannya, sekiranya bukan semua, adalah bersifat politik.

“Adalah sentiasa menjadi pendirian kita (Pakatan Harapan) bahawa mereka yang didakwa di bawah akta ini tidak sepatutnya didakwa pada mulanya, kerana akta ini akan dimansuh.

“Oleh itu, saya menyeru mahkamah untuk menangguhkan kes-kes tersebut sementara menunggu kajian semula dan penghapusan akhir Akta Hasutan di Parlimen kerana Kementerian Dalam Negeri sekarang telah menunjukkan bahawa terdapat kemungkinan sebenar ia akan berlaku,” katanya.

Pada Selasa, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata Putrajaya akan mengkaji semula tujuh undang-undang yang tidak lagi sesuai pada masa kini - Akta Mesin Cetak dan Oenerbitan 1984, Akta Hasutan 1948, Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Undang-undang Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), dan hukuman mati mandatori.

Bagi kajian semula hukuman manti mandatori, Ramkarpal berkata beliau sedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri untuk mencadangkan pindaan yang perlu bagi semua perundangan yang mengenakan hukuman mati  “dengan tujuan pemansuhan keseluruhannya”.

Katanya, ia jelas daripada kajian yang dijalankan bahawa hukuman mati tidak lagi menjadi penghalang efektif.

Di Malaysia, kesalahan yang membawa hukuman mati termasuk bunuh, penyeludupan dadah merbahaya, pengkhianatan, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, atau kesalahan jenayah berat yang membawa kematian atau pembunuhan seperti rogol, culik, mengambil tebusan dan samun berkumpulan.

Ramkarpal berkata, dengan kenyataan Muhyiddin, beliau akan memfailkan permohonan kepada Mahkamah Persekutuan untuk anak guamnya, yang dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan dadah, untuk dibenarkan penangguhan hukuman, berikutan kemungkinan pemansuhan hukuman mati pada masa terdekat.

“Diharapkan cadangan permohonan akan dibenarkan dan terpakai kepada semua pesalah yang menunggu hukuman mati.

“Hanya adil untuk hukuman penghuni ini dikaji semula sekiranya hukuman mati mandatori itu dimansuhkan.”

Beliau berkata kerajaan PH yang baru mesti mempunyai keinginan politik untuk meneruskan pembaharuan sebagai sebahagian daripada agendanya dan Kementerian Dalam Negeri mesti dipuji kerana mengambil usaha yang perlu untuk melakukannya.– 24 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen