Azlan Man, menteri besar Perlis tanpa pasukan


The Malaysian Insight

POLITIK di Perlis, satu daripada dua negeri yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum dua minggu lalu, terus berkocak walaupun negeri itu sudah ada menteri besar yang tertangguh pelantikannya lebih dua minggu selepas pilihan raya.

Azlan Man pagi ini mengangkat sumpah sebagai menteri besar untuk penggal kedua di hadapan Raja Perlis di Istana Arau, Perlis. Tetapi beliau keseorangan. Sembilan wakil rakyat BN tidak datang.

Pada sebelah petang, di pejabat Umno di Kuala Lumpur, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis Shahidan Kassim mengumumkan Umno negeri mencadangkan Azlan dipecat dari parti.

“Sekarang dia jadi menteri besar wakil rakyat bebas,” kata Shahidan.

Lebih dua minggu selepas PRU14, Perlis akhirnya ada menteri besar tetapi menteri besar itu belum tentu ada pasukan yang akan membolehkan beliau menjalankan kerja mentadbir negeri.

“Ini benda yang pelik. Dia seorang BN tiba-tiba dia jadi MB, tak ada sokongan,” kata Zahidi Zainul Abidin, timbalan pengerusi BN Perlis yang juga ahli Parlimen Padang Besar.

Kenapa sampai jadi macam ini?

Kemelut ini timbul kerana ada pertembungan antara Istana Arau dan BN negeri tentang siapa yang sepatutnya jadi menteri besar. Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mahu Azlan jadi menteri besar sekali lagi supaya boleh meneruskan pembangunan yang ada demi kepentingan rakyat.

Tuanku tidak berkenan dengan calon yang dikemukakan oleh BN, Ismail Kassim kerana di belakang beliau ada abangnya, Shahidan.

“Saya bimbang takut salah pilih Datuk Ismail Kassim… Saya takut pilih menteri besar yang akan menjadi puppet,” titah baginda di Istana Arau hari ini.

“Kalau Shahidan nak patutnya dia bertanding di DUN tetapi dia bertanding di Parlimen… ini yang jadi masalah… saya tidak mahu rahsia dalam diketahui (orang) luar,” titah baginda, seperti dipetik Berita Harian.

Pada PRU14, BN menang 10 daripada 15 kerusi negeri. PKR menang 3 kerusi dan PAS 2 kerusi. BN menguasai dua pertiga Dewan Undangan Negeri Perlis.

Shahidan, selaku pengerusi BN Perlis, pada 12 Mei mengemukakan nama adiknya, Ismail sebagai calon menteri besar. Semua 10 Adun Perlis kemudian mengadap Raja Perlis pada 16 Mei dan ditanya siapa yang mereka sokong untuk jadi menteri besar.

Kelmarin, seminggu selepas pertemuan Raja Perlis dengan 10 Adun BN, pemangku Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Hishammuddin Hussein pula mengadap Tuanku Syed Sirajuddin. Kedua-dua pemimpin pusat itu tidak membuat apa-apa kenyataan selepas pertemuan tersebut, sehinggalah membawa kepada majlis angkat sumpah di Arau hari ini.

Ini latar sebelum apa yang berlaku hari ini.

Shahidan pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini meminta istana tidak campur tangan dalam urusan pelantikan ketua kerajaan negeri.

Beliau sebaliknya mahu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad campur tangan membetulkan keadaan. Beliau juga mahu Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah “yang pakar undang-undang” juga campur tangan memberi pandangan dan nasihat.

Begitu marahnya Shahidan dengan pilihan raja, beliau malah sampai berkata: “Kalau macam ini tak payahlah ada pilihan raya, lantik sajalah terus (menteri besar).”

Ini bukan kali pertama Shahidan berdepan dengan halangan perkenan di istana. Kemelut sama berlaku pada 2008 walaupun dalam pilihan raya umum ketika itu BN menang 14 daripada 15 kerusi negeri.

Istana memberi perkenan untuk Md Isa Sabu jadi menteri besar walaupun Shahidan berkata beliau mendapat watikah daripada pengerusi BN ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi.

Selepas PRU 2013 juga Istana Arau menolak cadangan BN negeri menamakan Ismail sebagai menteri besar, sebaliknya melantik Azlan.

Apakah Raja Perlis tersilap apabila menolak cadangan BN negeri itu?

Kemungkinan besarnya, Raja Perlis tidak tersilap dan kemungkinan besarnya juga, Shahidan tidak salah apabila meminta Dr Mahathir dan Sultan Nazrin campur tangan.

Perlembagaan negeri atau Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis 1948 memberi kuasa yang luas kepada Raja Perlis untuk memilih orang yang dirasakannya layak jadi menteri besar.

Artikel 39(4) perlembagaan itu menyatakan “Raja boleh dengan SESUKA HATINYA sendiri” mengetepikan apa saja peruntukan dalam perlembagaan itu, jika perlu. Ini termasuklah dua syarat lain untuk jadi menteri besar Perlis iaitu Melayu dan beragama Islam.

Apakah maksud “sesuka hatinya”?

“Sesuka hati” tidak sama, dan tidak akan serupa, dengan “budi bicara”. Ertinya, kuasa raja ini kuasa mutlak yang tidak boleh dicabar.

Apa akan jadi selepas ini?

Sekurang-kurangnya ada tiga senario yang boleh berlaku.

Pertama, Azlan membuat kerjasama dengan 3 Adun PKR dan 2 Adun PAS dan mencari sekurang-kurangnya 3 lagi Adun BN untuk menyertai kerajaannya. Kerajaan campuran ini tidak mustahil boleh dibentuk tetapi belum tentu diterima baik oleh rakyat yang menyampah dengan politik berpanjangan walaupun sudah habis pilihan raya.

Kedua, semua Adun BN akhirnya setuju dalam paksa untuk menerima Azlan sebagai ketua kerajaan dengan nasihat daripada BN dan Umno di Kuala Lumpur. Kemungkinan ini barangkali dipertimbangkan oleh BN dan Umno yang sebenarnya berdepan tugas lebih besar di hadapan, iaitu jadi pembangkang di pusat yang berwibawa dan membina semula parti selepas kalah pilihan raya.

Ketiga, Azlan tunduk kepada tekanan atau ditolak dalam undian tidak percaya di dewan undangan negeri, dan kumpulan Shahidan menang. Tetapi masalah baru pula datang – bagaimana menguruskan hubungan kerajaan negeri yang jadi pembangkang di pusat dengan istana.

Apa pun yang berlaku, politik di Perlis – negeri kecil jauh di utara; satu daripada dua benteng akhir Umno dan BN di Semenanjung Malaysia – masih belum selesai, dua minggu selepas pilihan raya. Semuanya baru saja bermula. – 24 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen