Pelajar mengaku curi telefon guru, mahkamah diberitahu


The Malaysian Insight

SEORANG guru hari ini memberitahu inkues koroner bahawa pelajar perempuan yang membunuh diri selepas dituduh mencuri telefon pintar gurunya telah mengaku melakukan perbuatan itu.

S Paramasivam, saksi dalam inkues kematian M Vasanthapiriya, memberitahu Mahkamah Koroner bahawa pelajar itu mengaku dia dan seorang lagi rakannya mencuri telefon gurunya.

“Saya tanya dia apa yang terjadi pada telefon itu. Dia kata semua guru menuduhnya mencuri kerana dia dirakam di CCTV.

“Dia kata dia sendiri tak pernah lihat rakaman dirinya, jadi bagaimana dia nak mengaku. Selepas ditunjukkan rakaman, dia mengaku,” kata guru itu, yang mengajar kelas Vasanthapiriya di SM Methodist Nibong Tebal.

Paramasivam berkata pengakuan itu dibuat di kawasan perhimpunan sekolah pada kira-kira 6.30 petang pada 24 Januari, iaitu hari kejadian.

Katanya, pada masa itu terdapat juga guru-guru lain, pengawas dan pelajar di kawasan perhimpunan kerana mereka semua sedang bersiap-siap untuk balik ke rumah. Malah, katanya tiada siapa yang memaksa Vasanthapiriya supaya mengaku.

“Dia kata dia hanya menunggu di luar bilik guru, mengawasi keadaan diluar sementara rakannya masuk ke dalam untuk mencuri telefon itu. Dia beritahu nama pelajar Tingkatan Dua itu, yang juga saya kenal.

“Tetapi CCTV dari bilik guru menunjukkan hanya seorang pelajar perempuan yang keluar masuk bilik itu.

“Bila saya tanya lagi apa yang jadi kepada telefon itu, Vasanthapiriya kata dia boleh dapatkannya semula jika guru itu (pemilik telefon) boleh bawanya ke rumah pelajar perempuan berkenaan. Tak lama selepas itu, saya balik ke rumah,” katanya.

Vasantahpiriya, 14, cuba membunuh diri di bilik tidurnya dengan menggantung diri pada malam hari kejadian, selepas guru yang kehilangan telefon itu membawanya pulang ke rumah dan bercakap dengan ibu bapanya.

Pelajar itu meninggal dunia seminggu selepas kejadian di Hospital Seberang Jaya pada 1 Februari. Kematiannya menimbulkan bantahan dan ibu bapanya membuat laporan polis mendakwa dia disalah tuduh dan dipukul di sekolah kerana mencuri.

Guru yang telefonnya didakwa dicuri itu telah ditukarkan ke pejabat pendidikan daerah Seberang Perai Selatan. Selain dicemuh, guru itu juga menerima ugutan bunuh.

Inkues akan bersambung pada 10 pagi esok di hadapan Koroner Norsalha Hamzah dan pihak pendakwaan akan memanggil tiga lagi saksi.

Peguam Paramjit Singh dan Sukhinderpal Singh masing-masing menjadi pemerhati bagi keluarga Vasanthapiriya dan badan bukan kerajaan Malaysian Tamilar Kural. – 24 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen