WALAUPUN bukan kunjungan rasmi, Jepun akan menjadi negara pertama dilawati Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.
Sumber Pejabat Perdana Menteri (PMO) memberitahu Malaysia Decides, Persidangan Nikkei yang bakal dihadiri Dr Mahathir diadakan setiap dan dihadiri perdana menteri sejak 17 tahun lalu.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan PMO hari ini menyatakan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe menzahirkan ucapan tahniah kepada Dr Mahathir di atas pelantikan beliau menerajui pentadbiran serta pembentukan kerajaan baharu negara ini.
PMO berkata, Abe menghubungi Dr Mahathir pada jam 11.45 pagi ini dan kedua-dua pemimpin saling membincangkan usaha bagi mengukuhkan hubungan dua hala yang sedia ada.
Turut disentuh adalah mengenai kunjungan Dr Mahathir ke Jepun pada bulan depan bagi menghadiri Persidangan Nikkei yang diadakan setiap tahun.
Dr Mahathir juga tidak ketinggalan menyuarakan penghargaan beliau terhadap bantuan Jepun dalam pembangunan Malaysia serta berharap kedua-dua negara itu akan terus bekerjasama. – 24 Mei, 2018.
Komen