SKANDAL kontroversi syarikat National Feedlot Corporation (NFC) akan disiasat semula oleh kerajaan Pakatan Harapan.
“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membuka semula kes projek pembiakan lembu di bawah NFC,” kata menterinya Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan yang tidak memberikan butiran lanjut berhubung siasatan itu dimuat naik di Facebook Parti Amanah Negara hari ini.
Salahuddin berkata, pembukaan semula kes itu adalah sejajar dengan komitmen Putrajaya untuk menyiasat semula semua skandal penyelewengan.
Pakatan Harapan dalam manifesto PRU14 berjanji akan menyiasat kesemua skandal membabitkan syarikat dan organisasi berkaitan persekutuan seperti 1Malaysia Development Berhad, Felda dan Mara.
Skandal NFC - juga terkenal dengan jolokan “skandal kondo dan lembu” - melibatkan Dr Mohamed Salleh Ismail yang juga suami kepada ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil.
NFC menerima pinjaman RM250 juta daripada kerajaan persekutuan di bawah Barisan Nasional sebelum ini ketika pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi dengan harapan ia akan membiakkan lebih 8,000 ekor lembu menjelang 2010 untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan mengurangkan daging lembu import.
Namun tapak NFC yang berkeluasan 600 hektar berharga RM74 juta di Gemas, Negeri Sembilan, hanya membiakkan 3,289 ekor lembu dengan hanya mencapai 41% daripada sasarannya, menurut laporan ketua audit negara.
Pada 2011, naib presiden PKR yang juga bekas ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mendedahkan pembelian unit kondominium mewah oleh syarikat pembiakan lembu itu.
Salleh didakwa atas empat pertuduhan menyeleweng RM49.7 juta daripada NFC pada tahun yang sama, namun kemudiannya dibebaskan daripada semua tuduhan. Beliau juga menang saman terhadap Rafizi.
Pada 7 Februari, Rafizi dan bekas kerani Public Bank Johari Mohamad didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana melanggar Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) apabila membocorkan maklumat akaun berkaitan NFC. – 24 Mei, 2018.
Komen