SPRM digesa siasat Dr Mahathir


The Malaysian Insight

KAKITANGAN lantikan politik Barisan Nasional (BN) yang dipecat dan sebuah kumpulan yang dikaitkan dengan Umno mahu pihak berkuasa menyiasat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kerana rasuah.

Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat 12 kes yang menuduh Dr Mahathir menyalahgunakan kuasa.

Kumpulan itu berkata SPRM perlu bersikap adil, kerana ia juga menyiasat bekas perdana menteri Najib Razak.

“Jika Dr Mahathir dan Mohd Shukri Abdull boleh menyiasat orang lain, maka mereka boleh menyiasat 12 kes yang kami sediakan hari ini dan membuktikan kepada kami yang mereka benar-benar adil,” kata Presiden JMM Awanddin Hamzah merujuk kepada ketua SPRM di luar ibu pejabat agensi anti-rasuah itu.

Hampir 50 penyokong JMM berkumpul di luar ibu pejabat SPRM.

Pegawai yang bertugas hanya membenarkan Awanddin dan beberapa ahli lain masuk ke premis itu dan menyerahkan memorandum mereka.

Awanddin berkata tindakan mereka bukan untuk mempertahankan Najib.

“Kami bukan berada di sini untuk mempertahankan Najib. Jika beliau rasuah, SPRM mesti menyiasatnya secara adil. Kami hanya meminta supaya SPRM bersikap adil dalam siasatannya,” kata Awanddin.

Penyelaras Kerajaan Malaysia Baru, Lokman Noor Adam berkata laporan yang dihantar kepada SPRM dibuat sebelum ini oleh beberapa pemimpin.

“Laporan yang kami hantar dibuat sebelum ini oleh Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan Lim Guan Eng terhadap Dr Mahathir.

“Kami mahu SPRM menyiasat laporan yang mereka buat,” katanya. – 24 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen