Raja Perlis murka, tak berkenan MB boneka


The Malaysian Insight

RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail murka dengan tindakan wakil rakyat Umno yang tidak hadir ke majlis mengangkat sumpah jawatan menteri besar calon pilihannya.

Baginda kecewa kerana sembilan wakil rakyat berkenaan berada di Perlis semasa undangan ke upacara tersebut dihantar dua hari lalu.

“Hari ini sebilangan besar mereka tidak hadir… sebab apa (tidak hadir) saya pun tidak tahu,” titah baginda seperti dilaporkan portal Harian Metro.

Kesemua sembilan orang wakil rakyat berkenaan berada di Kuala Lumpur hari ini dan membuat sidang media membantah pelantikan Adun Bintong, Azlan Man sebagai Menteri Besar.

Mengulas lanjut, Syed Sirajuddin berkata, baginda menolak Ismail Kassim sebagai menteri besar kerana bimbang wakil rakyat Umno itu menjadi boneka pihak tertentu.

“Apabila saya berjumpa semua wakil rakyat BN, mereka ini lebih patuh (kepada kepemimpinan Umno) yang di negeri, daripada (kepemimpinan) yang di pusat.

“Ia seperti ada grip (pegangan) lain..saya bimbang takut salah pilih Datuk Ismail Kassim…saya takut pilih menteri besar yang akan menjadi puppet (boneka),” titah baginda.

Raja Perlis bimbang Ismail tidak dapat menjaga kerahsiaan dan akan berbincang dengan saudaranya Shahidan Kassim yang merupakan Pengerusi Perhubungan Umno negeri.

“Seperti tuan-tuan dengar tadi sumpah menteri besar, beliau tidak boleh beritahu dan berbincang selain daripada mereka yang berada di dalam kabinet…tidak boleh keluar rahsia langsung.

“Tetapi kalaulah adik jadi menteri besar, tentu dia akan beritahu kepada abang…jadi saya tidak mahu…saya berterus-terang tidak mahu orang luar mengawal menteri besar.

“Kalau Shahidan nak patutnya dia bertanding di DUN, tetapi dia bertanding di Parlimen…ini yang jadi masalah…saya tidak mahu rahsia dalam diketahui luar,” titah baginda.

Baginda juga bimbang perkara lebih buruk akan berlaku kerana wakil rakyat BN tersebut kini sanggup bertindak demikian.

“Sembilan wakil rakyat BN tidak hadir kerana dikawal seseorang…tarik semua ke Kuala Lumpur dan tidak hadir majlis ini.

“Ini yang saya bimbang dari awal dan hari ini syak wasangka saya betul. Ini hanya perkara kecil… Kalau dibiarkan lebih daripada ini boleh berlaku,” katanya. – 24 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen