Shahidan minta Dr Mahathir campur tangan krisis MB Perlis


The Malaysian Insight

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Perlis Shahidan Kassim memohon Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad campur tangan dengan menyemak semula kuasa melantik menteri besar susulan krisis yang melanda Perlis hari ini.

Shahidan berkata, pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bintong Azlan Man sebagai Menteri Besar adalah tidak berlandaskan majoriti kerana daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sembilan adun BN mahukan Ismail Kassim sebagai menteri besar.

“Kami menang majoriti dua pertiga Dewan. (Azlan) tidak ada sokongan langsung. Kami rakyat Perlis kena aniaya, kami minta tolong kepada Dr Mahathir, saya minta perdana menteri dapat campur tangan.

“Pemilihan menteri besar mestilah daripada majoriti bukan dipilih raja atau gabenor. Malah pelantikan perdana menteri sendiri. Bersatu ada 12 kerusi. Majoriti ahli Parlimen Pakatan Harapan mahu Dr Mahathir maka beliau jadi perdana menteri,” kata Shahidan kwtika sidang media di Ibu Pejabat Umno di ibu negara hari ini.

Sebagai wakil rakyat yang dipilih dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu, Shahidan berkata mereka berhak menentukan menteri besar yang ingin dilantik.

“Kita harap Tuanku pilih seorang yang dapat sokongan majoriti.

“Negeri ada gabenor selesai dengan cepat. Negeri lain yang beraja juga lantik orang yang dapat majoriti. Kenapa Perlis tidak boleh lantik?” soal Shahidan.

Upacara mengangkat sumpah Azlan sebagai Menteri Besar Perlis hari ini tidak dihadiri sembilan Adun BN.

Shahidan dalam sidang medianya juga mempersoalkan perkataan “murka” ketika ditanya tindakannya itu bakal mengundang reaksi negatif istana.

“Apa itu murka? Beritahu saya apa makna murka. Tak adil. Kami bertanding pilihan raya, kami berhak tentukan siapa pemimpin kami. Saya menggadaikan jiwa dan raga untuk pilihan raya ini,” katanya lagi.

“Saya ikut Perlembagaan. Raja hendaklah melantik menteri besar yang ada sokongan majoriti, lantik orang tidak ada sokongan tak beretika dari segi Perlembagaan.” – 24 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen