PENGERUSI Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Perlis, Shahidan Kassim menggesa Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menghormati keputusan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri itu yang menolak pelantikan Azlan Man sebagai menteri besar.
Shahidan berkata, pihak istana Perlis tidak seharusnya campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri.
“Tuanku tak perlu campur tangan soal pentadbiran. Jangan takut Perlis tidak ada bajet dan sebagainya. Itu urusan menteri besar,” katanya, ketika sidang media di Ibu Pejabat Umno di ibu negara hari ini.
Beliau turut berkata, Umno Perlis juga sudah memecat keahlian Azlan kerana bersetuju menjadi menteri besar tanpa sokongan majoriti Adun negeri itu.
“Beliau tidak sepatutnya menerima pelantikan itu. Beliau tiada sokongan. Pakatan Harapan dan PAS pun tidak menyokongnya,” dakwanya.
BN Perlis sebelum ini mencadangkan adik Shahidan, Ismail Kassim untuk menjadi menteri besar negeri itu namun ditolak pihak istana.
Azlan mengantkat sumpah sebagai menteri besar hari ini tanpa kehadiran sembilan Adun BN.
“Kalau macam ini tak perlu buat pilihan raya, lantik terus sahaja senang. Kami tidak bersetuju (Azlan sebagai menteri besar).
“Oleh itu, kami cadangkan pemecatan Azlan serta merta. Jadilah menteri besar tanpa parti,” kata Shahidan pada sidang media itu yang turut dihadiri sembilan Adun BN Perlis. – 24 Mei, 2018.
Komen