BARU saja beberapa jam mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perlis, wakil rakyat Bintong, Azlan Man kini dipecat daripada parti.
Pengerusi Perhubungan Umno Perlis, Shahidan Kassim pada petang ini dilaporkan berkata, Azlan dipecat kerana membuat keputusan tidak selari dengan parti.
Ini kerana, Azlan Man dilantik ke jawatan itu tanpa surat perlantikan dari BN, kata Shahidan seperti dilaporkan Bernama.
Azlan sepatutnya tidak terima pelantikan itu kerana beliau tidak mendapat sokongan majoriti, kata Shahidan yang menggesa perdana menteri campur tangan dalam kes tersebut.
Azlan, 60, dilaporkan mengangkat sumpah jawatan menteri besar pada jam 11 pagi ini dalam acara penuh kontroversi di Istana Arau.
Sembilan orang Adun Barisan Nasional (BN) tidak hadir dalam acara tersebut yang menimbulkan spekulasi bahawa pelantikannya tidak mendapat persetujuan Umno negeri.
Pada 2008, proses pelantikan menteri besar di negeri itu juga mengambil masa sehingga dua minggu selepas pilihan raya dijalankan.
Sehingga hari ini, kerajaan negeri masih belum dapat dibentuk di negeri itu walau pilihan raya umum sudah selesai hampir dua minggu lalu. – 24 Mei, 2018.
MENYUSUL
Komen