KHAZANAH berkata ia tidak mempunyai kawalan ke atas bagaimana Putrajaya menggunakan RM3 bilion yang dibangkitkannya menerusi terbitan saham yang didakwa digunakan bagi membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut Khazanah, saham tersebut dikeluarkan bagi pihak Kementerian Kewangan yang ketika itu diketuai oleh Najib Razak.
Dalam satu kenyataan hari ini, Khazanah berkata, pada 7 Mac 2011 ia menerbitkan Saham Keutamaan Boleh Tukar Boleh Tebus Terkumpul (“RCCPS”) berjumlah RM3 bilion kepada Kementerian Kewangan.
“Secara ringkasnya, RCCPS merupakan suntikan modal yang mana MOF (Kementerian Kewangan), sebagai pemegang saham 100% dalam Khazanah berhak untuk mengambil atau menebus balik pada bila-bila masa.
“Pada 14 Mac 2014, MOF telah menebus balik RM1.8b daripada RM3 bilion yang diterbitkan,” menurut kenyataan itu.
“Harus dijelaskan juga bahawa Khazanah tidak berhak untuk menentukan tujuan penggunaan dana tersebut sebaik sahaja RCCPS ditebus semula oleh MOF.”– 24 Mei, 2018.
Komen