Shafie beri petunjuk mahu pindahkan kem tentera lain di Sabah ke Esszone


The Malaysian Insight

KETUA Menteri Sabah Shafie Apdal memberi petunjuk tentang rancangannya mahu memindahkan pangkalan tentera lain di Sabah ke kawasan Pantai Timur Sabah, kawasan yang mempunyai ancaman keselamatan paling tinggi di negeri itu.

Warisan yang diterajui Shafie dalam PRU14 mengemukakan 13 teras manifesto, termasuklah salah satunya “meminta kuasa Kerajaan Persekutuan agar mengenal pasti penempatan pasukan-pasukan keselamatan ke kawasan-kawasan berisiko pencerobohan”. Teras ini akan ditunaikan dengan “mengkaji untuk menempatkan kekuatan anggota keselamatan yang berada di Kem Lok Kawi dan Kem Paradise Kota Belud supaya diagihkan ke kawasan yang berpotensi ada ancaman keselamatan dan risiko penyusupan anasir subversif.”

“Kami sedang menilai perkara itu dan kajian teliti dan mendalam akan dijalankan sama ada pemindahan itu praktikal.

“Kerja itu tidak mudah kerana ia melibatkan pergerakan aset dan anggota tentera ke lokasi baru, selain menyediakan peruntukan, tanah dan perkara lain,” katanya kepada wartawan selepas menyampaikan barangan Hari Raya kepada anggota keselamatan di Menara Tun Mustapha di Kota Kinabalu hari ini.

Terdapat banyak kes penculikan rentas sempadan dilakukan penjenayah dari selatan Filipina dicatatkan di kawasan Pantai Timur Sabah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2013 pula, Lahad Datu diceroboh lebih 100 lelaki bersenjata yang menggelarkan diri mereka Tentera Diraja Sulu dalam tuntutan Kesultanan Sulu yang mahukan Sabah sebagai jajahan takluk mereka.

Beberapa negara seperti Eropah dan Australia juga mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat mereka daripada melawat kawasan Pantai Timur Sabah.

Kawasan itu meliputi Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Kudat, Kunak dan Pitas, perintah berkurung masih berkuat kuasa di semua kawasan itu sejak pencerobohan Lahad Datu berlaku. – 24 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen