PERSATUAN perdagangan mahu Putrajaya memberi keutamaan kepada perniagaan tempatan susulan tindakan Putrajaya mengkaji semula pelaburan di negara ini termasuk dari China.
Presiden Persatuan Dewan Perniagaan Malaysia-China, Tan Yiew Sing berkata kajian semula oleh kerajaan baru Pakatan Harapan terhadap pelaburan asing, termasuk dari China “difahami” selagi ia “memberi manfaat” kepada rakyat Malaysia.
“Pendirian kami adalah pelaburan dialu-alukan. Tetapi kami juga menerima hakikat yang manfaat harus diberikan kepada Malaysia dengan adil.
“Kita perlu melindungi kepentingan rakyat Malaysia,” katanya selepas bertemu Majlis Penasihat Kerajaan hari ini.
Tan bersetuju pelaburan perlulah memberi manfaat kepada sumber manusia, teknologi tempatan dan mesti melibatkan pemindahan teknologi.
Tan berkata beliau digalakkan oleh pergerakan kerajaan untuk menangani rasuah: “Rasuah adalah kos perniagaan kepada rakyat. Jika sebuah negara mempunyai kebebasan kehakiman, saya rasa korupsi dapat diminimumkan.”
“Para pelabur akan menyukainya. Pelabur sukakan keadaan politik yang sangat stabil dan cenderung kepada persekitaran pelaburan.
Tan berkata sebagai negara perdagangan, Malaysia perlu sedar mengenai pasaran Cina, India dan Islam.
“Dengan latar belakang sedemikian, bagaimana Malaysia boleh gagal. Malaysia tidak boleh gagal. Kita perlu kerajaan yang cekap. Kita perlukan dasar perniagaan yang telus dan badan kehakiman yang bebas.” – 24 Mei, 2018.
Komen