Kes saman fitnah Anwar ditangguh tahun depan


Melati A. Jalil

PERBICARAAN tuntutan saman Anwar Ibrahim terhadap bekas calon Barisan Nasional (BN) kerusi Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan dua yang lain ditangguhkan hingga Januari tahun depan.

Pesuruhjaya Kehakiman Faizah Jamaludin menetapkan 22 hingga 25 Januari untuk perbicaraan selepas peguam Sangeet Kaur memohon penangguhan kerana pemeriksaan kesihatan Anwar dijadualkan minggu ini.

Anwar memfailkan saman itu pada 15 Oktober, 2015 menamakan Dr Mazlan Ismail, Sistem Televisyen Malaysia (TV3) dan Utusan Melayu (M) Bhd sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga kerana membayangkan beliau merasuah hakim dan pendakwa.

“Tarikh itu dikosongkan beberapa hari akan datang kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Dan kami tidak dapat tarikh sesuai untuk semua pihak. Jadi tarikh paling dekat malangnya ialah pada 22 hingga 2 Januari, kata Sangeet kepada wartawan selepas mahkamah ditangguhkan petang tadi.

Anwar, yang terdahulu membacakan kenyataan saksinya, mendakwa Mazlan mengeluarkan kata-kata memfitnah pada satu sidang media menyebabkan TV3 menyiarkan kata fitnah itu dalam berita waktu perdana iaitu Buletin Utama pada 2 Ogos, 2013 dan Utusan Malaysia menerbitkannya keesokan hari.

“Sepatutnya saya perlu dimasukkan ke hospital minggu ini tetapi saya hadir perbicaraan ini kerana menghormati mahkamah,” kata bekas timbalan perdana menteri itu.

Mazlan mendakwa pada 2013 beliau menerima “6,000 surat layang” daripada orang yang tidak dikenali mendakwa Anwar dan mendiang Karpal Singh terbabit dalam merasuah hakim.

Mazlan pada masa itu berkata surat berkenaan dihantar ke rumahnya di Bukit Mertajam pada awal Ogos 2013.

Anwar dan Karpal menafikan tuduhan itu dan membuat laporan polis.

Anwar berkata kata-kata itu sangat memfitnah dan berniat jahat di mana menunjukkan beliau seorang yang rasuah, tidak beretika, tidak jujur, tidak bermoral dan terbabit dalam aktiviti jenayah.

Selain ganti rugi am, teruk dan teladan, Anwar juga memohon injunksi untuk menghalang defendan mengulangi dan menerbitkan lagi kenyataan fitnah itu. – 13 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen