KERAJAAN akan meneliti semula kemasukan 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh yang dimeterai tiga tahun sejak tahun lalu, kata Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran.
“Ia akan diteliti semula,” katanya pada sidang media di Wisma Perkeso, Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai memorandum persefahaman (MoU) yang pernah dimeterai oleh kerajaan di bawah pimpinan Najib Razak sebelum ini.
Pakatan Harapan sebelum ini mengkritik perjanjian itu dan berjanji untuk mengurangkan kemasukan pekerja asing.
Sementara itu, mengulas mengenai kebanjiran pekerja asing di negara ini, beliau berkata pihak kementeriannya tidak akan menghalau mereka yang sedia ada tetapi akan melakukan yang terbaik untuk mengawal mereka yang akan datang.
“Pekerja asing mengisi kerja kosong di sini bukan satu masalah. Kami tak akan suruh mereka keluar (dari negara ini).
“Tapi mereka yang akan datang kita akan cuba lakukan yang terbaik (untuk mengawal kemasukan),” katanya pada sidang media di Wisma Perkeso, Kuala Lumpur hari ini.
Tambahnya, keutamaan di pihak kementeriannya adalah untuk pekerja tempatan.
Beliau berkata demikian selepas selepas melawat Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso) selepas 14 hari menyandang jawatan di kementerian itu. – 24 Mei, 2018.
Komen