PRU14 sudah habis, masa untuk bekerja demi Malaysia


The Malaysian Insight

BERCAKAP memang mudah, sama ada untuk meniupkan semangat kawan atau membangkitkan kemarahan lawan. Dan begitulah, pilihan raya pada 9 Mei buat pertama kalinya mengubah kerajaan untuk Malaysia.

Tetapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah selesai. Kabinet sudah angkat sumpah. Negara perlu diuruskan walaupun dikatakan terbelit dengan beban hutan RM1 trilion yang ditumpukkan oleh kerajaan penyangak.

Apa yang Malaysia perlukan sekarang ialah kearifan dan kebijaksanaan untuk mengeluarkan negara daripada perangkap hutang, berjimat cermat dalam berbelanja dan berkata-kata.

Bagi menteri Pakatan Harapan (PH), bahasa yang berapi-api dan membakar semangat yang terdengar semasa berkempen sebagai pembangkang sudah tidak boleh terpakai lagi apabila mereka kini mentabdir negara.

Ya, kita sebagai rakyat mahu tahu keadaan sebenar ekonomi yang ditinggalkan oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang kalah pilihan raya, tetapi masa untuk mendabik dada itu sudah berakhir.

Rakyat Malaysia dan pelabur luar harus ada keyakinan yang barisan PH ini ada idea dan komitmen untuk memimpin Malaysia keluar daripada kemelut ini.

Kita sudah tahu siapa penyangaknya. Kita sudah lihat beg-beg berisi wang tunai, barangan kemas serta berkotak-kotak beg tangan jenama mewah dirampas oleh polis. Kita sudah lihat keangkuhan dan kesombongan yang tidak tanggal, melekat seperti bau bangkai.

Kita mahu ada tindakan, bukan hanya kata-kata. Kes yang tidak dapat dipertikaikan terhadap mereka yang menhunjamkan negara ke dalam beban hutang. Selesaikan itu.

Bagi BN, ini masa untuk bermuhasabah dan terus bergerak sebagai pembangkang. Tuan mungkin mahu berkokok akan pencapaian dahulu tetapi bunyinya macam tin kosong – orang kalah yang meraung.

Bekerjalah untuk menjadikan Malaysia lebih baik, kerajaan atau pembangkang. Tunggu pilihan raya akan datang kalau mahu terpekik terlolong tetapi sekarang ini tindakan anda itu lebih mustahak untuk negara. – 24 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen