KONTRAKTOR Melayu perlu menyiapkan diri untuk mampu bersaing dalam pasaran ekonomi terbuka, kata Daim Zainuddin kepada Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Mokhtar Samad hari ini.
Mokhtar diberitahu perkara ini apabila mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan dipengerusikan Daim di Menara Ilham, Kuala Lumpur hari ini.
“Kerajaan baru memberikan jaminan akan terus menjaga kontraktor Bumiputera,” kata Mokhtar.
“Bagaimanapun, dia (Daim) kata kontraktor Bumiputera perlu menyiapkan diri untuk berdepan cabaran. Progres hanya akan berlaku bila mereka bersedia untuk bersaing dan belajar kemahiran baru,” katanya.
Mokhtar berkata Daim memberi jaminan yang kerajaan baru “tidak akan meninggalkan Bumiputera”.
“Tetapi katanya juga sekarang bukan lagi soal Bumiputera dan bukan Bumipuera. Mereka yang ada bakat dan kemampuan akan diberi bantuan. Bumiputera boleh dibantu dengan cara meningkatkan kemahiran baru.”
Mokhtar enggan mengulas lanjut, tetapi katanya pertemuan hari ini “adalah pertemuan pertama daripada banyak lagi pertemuan akan datang” dengan majlis itu.
Dalam mesyuarat itu, Daim meminta jumlah kontraktor Bumiputera berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
Mokhtar mengatakan beliau memaklumkan bekas menteri kewangan itu yang 40,000 syarikat berdaftar dan 22,000 daripadanya adalah kontraktor kelas G1.
Apabila ditanya mengenai situasi kontraktor Melayu sekarang, Mokhtar mengatakan: “Dalam persekitaran sekarang, kontraktor Melayu mengatakan mereka tak mampu bersaing atau berupaya menyelesaikan kerja mereka.”
“Kami rasa terharu kerana Daim yang mula-mula menghubungi kami untuk mengetahui apa yang boleh dilakukan kerajaan baru untuk kontraktor Melayu.
“Selaku presiden, saya berpuas hati dengan jaminan dan soalan yang diberikan. Dia bekas kontraktor. Dia faham masalah kami. Saya ingat pertemuan bersemuka ini paling lama empat minit, rupanya saya dapat 24 minit. Macam saya seorang pesakit dan dia doktor.” – 24 Mei, 2018.
Komen