NGO tidak lagi dibenar jual nombor plat kenderaan istimewa


The Malaysian Insight

MENTERI Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan badan bukan kerajaan (NGO) tidak lagi akan diberi kelonggaran untuk menjual nombor pendaftaran kenderaan istimewa.

Katanya, sebanyak 30 lebih NGO yang sudahpun mendapat kebenaran untuk menjual nombor pendaftaran istimewa tersebut bagaimanapun dibenarkan untuk meneruskannya selama setahun.

Jelasnya, langkah itu bertujuan untuk meningkatkan hasil kerajaan kerana NGO berkenaan selama ini hanya diwajibkan membayar jumlah yang rendah kepada Jabatan Pengangkutan Jalan bagi setiap nombor yang didaftarkan.

“Semua NGO itu boleh jual nombor itu dalam tempoh setahun. Saya akan memberhentikan amalan ini. Tidak akan ada mana-mana NGO diberi kelonggaran untuk menjual nombor plat.

“Semua hasil ini mesti masuk kepada kerajaan melalui JPJ kerana saya difahamkan NGO hanya perlu bayar RM1 juta dan mereka boleh jual 9,999 nombor,” kata Loke dalam sidang medianya.

Tambahnya pada 2017, JPJ menyumbangkan hasil sebanyak RM4 bilion – kebanyakan dari lesen kenderaan motor, cukai jalan dan lesen memandu.

Hasil daripada jualan nombor pendaftaran istimewa secara bidaan pula hanya berjumlah RM280 juta, tidak termasuk RM130 juta untuk jualan tanpa bidaan.

Sistem jualan dan bidaan untuk nombor pendaftaran tersebut juga selepas ini akan dibuat secara dalam talian untuk meningkatkan ketelusan, kata Loke dalam sidang medianya.

Antara nombor plat yang telah didaftarkan sebelum ini adalah dari siri “SMS”, “RIMAU”, “PERFECT”, “NAAM”, “VIP”, “GT serta “PATRIOT”.

Ia lazimnya dikeluarkan dalam siri terhad untuk menarik golongan yang menggemari prestij. – 24 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen