SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih mencari dua saksi penting yang boleh membantu siasatan SRC International melibatkan berbilion ringgit yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib Razak.
Sumber mengesahkan pasukan penyiasat masih berusaha mengesan Nik Faisal Ariff Kamil dan Suboh Mohd Yassin, kedua-duanya saksi utama yang hilang sejak 2015.
“Bawa dia kepada kami jika jumpa,”kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Shukri Abdull kepada wartawan Isnin lalu.
Nik Faisal dan Suboh sepatutnya memberi keterangan berkaitan pelbagai transaksi melibatkan akaun bank peribadi yang dipercayai milik Najib.
Bagaimanapun, mereka hilang tanpa jejak dan khabar angin bertiup kencang mereka sudah meninggalkan negara untuk ke Indonesia atau New Zealand.
Mereka diperlukan untuk membantu siasatan dengan memberikan maklumat pemindahan dana dalam SRC International, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Suboh dan Nik Faisal adalah pemilik saham Gandingan Mentari Sdn Bhd, salah satu daripada dua syarikat digunakan untuk memindahkan wang SRC kepada akaun bank peribadi AmBank.
Nik Faisal juga dikatakan rakan karib dalang skandal 1MDB, Low Taek Jho- atau dikenali sebagai Jho Low- yang menyeleweng berbilion dana pelaburan negara itu.
Menurut laporan media, Nik Faisal adalah “orang tengah” antara UBG, 1MDB dan PetroSaudi untuk menyalurkan AS$260 juta wang 1MDB bagi pembelian UBG dalam transaksi melibatkan Low dan Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Abdul Taib Mahmud pada 2010.
Dia kemudian dilantik menjadi CEO anak syarikat baru 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Nik Faisal kemudian menjadi pengarah eksekutif pelaburan dan ketua pegawai pelaburan (CIO) UBG selepas Low membeli majoriti kepentingan syarikat itu dan menjadi ahli lembaga pengarahnya. – 24 Mei, 2018.
Komen