Musa Aman dikehendaki polis


The Malaysian Insight

BEKAS ketua menteri Sabah Musa Aman kini menjadi individu yang dikehendaki oleh pihak polis.

Pihak berkuasa kini sedang berusaha mengesannya selepas laporan polis yang dibuat oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Juhar Mahiruddin yang mendakwa beliau diancam pada malam angkat sumpah Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal sebagai ketua menteri.

Shafie mengangkat sumpah selepas pakatan Warisan-Pakatan Harapan (PH) memperoleh 35 daripada 60 kerusi negeri, sekali gus membolehkan pakatan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

Bagaimanapun, Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri 48 jam sebelum itu selepas memaklumkan Juhar yang Barisan Nasional mempunyai bilangan kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri baru.

Pesuruhjaya Polis Sabah Ramli Din, berkata hari ini mereka percaya Musa tidak lagi berada di Kota Kinabalu, Sabah.

“Kes itu sedang disiasat kerana jenayah intimidasi.

“Setakat ini kami sudah mengambil keterangan sembilan saksi berkaitan kes itu,” kata Ramli, sambil menambah yakin pihak polis akan menemui Musa. – 24 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen