Tabung Haji sahkan terima surat letak jawatan Azeez


The Malaysian Insight

LEMBAGA Urusan Tabung Haji (TH) mengesahkan menerima surat peletakan jawatan pengerusinya Abdul Azeez Rahim.

Satu kenyataan Kumpulan Lembaga TH menyebut, surat itu diserahkan semalam.

Menurut lembaga tersebut, Azeez pada mulanya dilantik sebagai ahli lembaga pengarah TH pada 2011 dan seterusnya dilantik sebagai pengerusi TH pada Julai 2013.

“Lembaga Tabung Haji mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di atas perkhidmatan beliau sebagai ahli lembaga pengarah dan pengerusi TH,” kenyataan itu dipetik.

Lembaga pengurusan tabung jemaah haji itu didakwa terlibat menyelamatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibelit hutang.

TH pada 2015 didakwa membeli tanah seluas 1.56 ekar di tapak projek Tun Razak Exchange, salah satu projek 1MDB dengan harga lebih mahal daripada sepatutnya – RM188.5 juta.

Orang kepercayaan bekas perdana menteri Najib Razak itu kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysa (SPRM).

SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM500,000 dari premis berkaitan ahli Parlimen Baling itu dalam siasatan yang dijalankan pada Selasa. – 24 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen