PEKERJA sosial di negara ini akan diiktiraf sebagai satu bidang kerjaya, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Justeru, beliau akan mencadangkan penggubalan undang-undang yang akan memberi pengiktirafan kepada golongan pekerja ini.
“Saya juga akan mempercepatkan proses cadangan akta di Parlimen yang akan menjadikan kerja sosial sebagai satu profesion.
“Ini akan meningkatkan kualiti perkhidmatan yang kami berikan dan menjadikan kerjaya pekerja sosial lebih menarik,” katanya kepada pemberita selepas melapor diri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini.
Beliau berkata akan mengadakan perbincangan dengan persatuan bukan kerajaan mengenai akta kesamaan jantina yang akan dikaji semula dalam sesi Parlimen akan datang.
“Akta kesamaan gender, akan diperbincangkan dengan NGO kerana kita perlu mengambil kira input Islam, konservatisme dan sebagainya,” kata beliau. – 24 Mei, 2018.
Komen