Serbuan SPRM di kediaman Kitingan kes penganiayaan terpilih, kata Masing


The Malaysian Insight

PRESIDEN Parti Rakyat Sarawak (PRS), James Masing mengecam serbuan di rumah Presiden Parti Solidariti Tanah Airku Sabah, Jeffrey Kitingan sebagai penganiayaan politik kerana bersekutu dengan Barisan Nasional (BN) susulan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada malam Isnin, pegawai Suruhanyajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu rumah Kitingan di Keningau atas tuduhan melakukan rasuah.

Masing hari ini mengatakan tindakan agensi anti-rasuah itu hanya menyasarkan ahli politik yang beralih kepada BN selepas PRU14.

“Ini sememangnya kes penganiayaan terpilih. ‘Katak’ yang melompat kepada Pakatan Harapan (PH), tiada masalah,” kata Masing merujuk kepada ahli politik yang meninggalkan parti mereka selepas pilihan raya 9 Mei kepada Warisan, yang diketuai bekas menteri pembangunan Luar bandar dan wilayah Shafie Apdal.

Tiada satupun daripada dua blok politik - Warisan dan BN Sabah - memperoleh majoriti 60 kerusi Sabah selepas PRU14.

Solidariti kemudiannya menjadi penentu, dan Kitingan mendapat kritikan apabila mengumumkan beliau menyokong BN, yang memberikan majoriti dan kuasa kepada ketua menteri Musa Aman.

Bagaimanapun, hampir 10 wakil rakyat BN daripada Umno dan Upko berpaling kepada Warisan, mencetuskan krisis kepimpinan.

Minggu lepas, Masing menggesa kerajaan persekutuan PH baru untuk mendakwa semua pemimpin, bekas menteri BN dan PH, yang disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah.

“Beberapa orang PH perlu melihat diri mereka sendiri juga. Jangan tengok kami sahaja. Pemimpin PH mungkin bukan syaitan, tetapi mereka juga bukan malaikat,” katanya kepada wartawan pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi parti. – 24 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen