LAWYERS for Liberty menggesa Apandi Ali, Md Raus Sharif dan Zulkefli Ahmad Makinudin meletak jawatan serta merta daripada jawatan mereka sebagai peguam negara, ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan.
“Jelas sekali jawatan mereka sekarang tidak lagi dapat dipertahankan, apatah lagi lantikan peguam negara adalah lantikan politik dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong atas cadangan perdana menteri, sementara pelantikan semula Raus dan Zulkefli pula pincang tidak mengikut perlembagaan,” kata Pengarah Eksekutif LFL Eric Paulsen dalam kenyataan hari ini.
Paulsen mengatakan tindakan mereka yang “mahu terus mempertahankan” kedudukan mereka akan menjejaskan rancangan perubahan dirancang kerajaan Pakatan Harapan.
“Situasi yang meragukan menyelubungi pelantikan Apandi sebagai peguam negara selepas pemecatan mengejutkan Abdul Gani Patail kerana Gani didakwa sedang dalam usaha mendakwa Perdana Menteri ketika itu Najib Razak atas pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB,” kata Paulsen.
Selepas dilantik menjadi peguam negara, Apandi sebaliknya memilih membersihkan Najib daripada semua salah laku berkaitan 1MDB walaupun semua bukti menunjukkan sebaliknya: “Jelas sekali Apandi tidak meraih keyakinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengarahkannya bercuti.”
Paulsen turut menambah yang pelantikan semula Raus dan Zulkefli “juga dipenuhi kontroversi, yang menggunakan pintu belakang” sebagai “hakim tambahan” walaupun mereka sudah mencapai umur wajib bersara iaitu 66 tahun enam bulan.
“Kesungguhan berterusan mereka untuk kekal dalam jawatan mewujudkan ancaman yang boleh mencetuskan krisis perlembagaan dan menyebabkan sengketa antara kerajaan baru dan badan kehakiman,” kata Paulsen lagi.
“Jika mereka perlu dipaksa keluar menggunakan saluran perundangan, situasi akan jadi kacau bilau kepada pejabat masing-masing yang sangat dihormati dan negara akan mengalami krisis,” katanya.
Pelantikan semula Raus dan Zulkefli dicabar secara undang-undang oleh Badan Peguam Malaysia dan Persatuan Peguam Sarawak serta dikecam Persatuan Undang-undang Sabah.
Pemimpin PH sebelum ini menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong pada Ogos 2017 meminta campur tangan baginda untuk menghentikan pelantikan yang melanggar perlembagaan itu. – 24 Mei, 2018.
Komen