Kabinet lebih kecil, potong gaji 10% jimatkan pembayar cukai RM3.65 juta


The Malaysian Insight

KABINET lebih kecil terdiri daripada 25 menteri yang dicadangkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan potongan 10% gaji akan memberi penjimatan sebanyak RM3.65 juta setahun kepada pembayar cukai.

Gaji Kabinet Barisan Nasional (BN) sebelum ini, mempunyai 35 menteri dan 33 timbalan, menelan kos lebih RM11 juta setiap tahun.

Ini tidak termasuk elaun mereka, yang meliputi bahan api, tugas di luar negara, perumahan, telefon bimbit dan tempat letak kereta.

Kabinet yang dikurangkan dengan 25 menteri, dan masing-masing dengan seorang timbalan, akan mengurangkan kos gaji bulanan kerajaan sebanyak lebih 25%, daripada RM920,719.25 kepada RM684,866.05.

Pemotongan gaji 10% seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam akan menyebabkan kos gaji lebih rendah kepada kira-kira RM616,379 sebulan.

Penjimatan bulanan sebanyak RM304,339 akan diterjemahkan kepada RM3.65 juta setahun.

Dr Mahathir mengumumkan pemotongan gaji semalam sebagai sebahagian daripada usaha penjimatan kerajaan selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet PH yang pertama.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke memberitahu Malaysia Decides yang kadar elaun akan dikekalkan.

Dua bekas anggota Kabinet berkata mereka juga diberitahu gabungan gaji dan elaun tidak boleh melebihi RM30,000 sebulan.

Sebelum ini, gaji perdana menteri ialah RM22,826.65, timbalan perdana menteri RM18,168.15, menteri RM14,907.20 dan timbalan menteri RM10,847.65.

Pemotongan 10% akan menyaksikan gaji itu berkurangan kepada RM20,540 bagi perdana menteri, RM16,351 bagi timbalan perdana menteri, RM13,416 untuk menteri, dan RM9,762 untuk timbalan menteri. – 24 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen