TIDAK ada “pemindahan kuasa”, kata Rafidah Aziz.
Dalam wawancara bersama stesyen radio BFM hari ini, bekas menteri industri dan perdagangan antarabangsa itu mengatakan rakyat mengundi untuk menyingkirkan kerajaan Barisan Nasional, dan kerana itu terma “pemindahan kuasa” tidak wujud.
“Tidak ada pemindahan kuasa. Ini undi rakyat, ini bukan pemindahan kuasa.
“Buang sahaja daripada fikiran. Rakyat sudah bersuara. Lupakan perkataan itu,” gesa Rafidah apabila ditanya sama ada beliau bimbang akan perubahan kerajaan yang berlaku sejak Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.
Pada PRU14 lalu, BN disingkir keluar buat pertama kali selepas menjadi kerajaan selama 60 tahun.
BN kalah kepada PH dan hanya berjaya menang 79 kerusi Parlimen berbanding PH yang menang 122 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen.
Apabila ditanya sama ada beliau menjangkakan kemenangan PH, Rafidah berkata beliau yakin kepada gabungan itu.
“Ada rasa meluas yang mereka (rakyat) perlukan perubahan. Perubahan yang akan menjadikan Malaysia lebih baik.
“Saya sangat yakin kita akan menang. Malah kita menang melebihi jangkaan, sekurang-sekurangnya melebihi jangkaan saya,” katanya.
Beliau berkata PH terdiri daripada mereka yang mempunyai pemikiran dan aspirasi sama iaitu mencapai matlamat bersama bagi memenuhi aspirasi rakyat.
Beliau juga menjawab soalan dikemukan menerusi Twitter meminta pandangannya tentang 30% wanita dalam Kabinet.
“Tak payah bercakap soal angka. Tak payah bercakap soal gender. Mari bercakap soal kualiti,” tambahnya.
Isnin lalu, sekumpulan aktivis mengadakan protes di luar Istana Negara menggesa PH memenuhi janji mereka memastikan sekurang-kurangnya 30% wanita dalam Kabinet. – 24 Mei, 2018.
Komen