Kerajaan jimat RM500 juta setiap tahun dengan penutupan 4 agensi


The Malaysian Insight

KIRA-KIRA RM500 juta setahun dapat dijimatkan dengan tindakan kerajaan menutup empat agensi, menurut anggaran ahli ekonomi.

Bercakap kepada The New Straits Times, Prof Barjoyai Bardai berkata keputusan memansuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Majlis Profesor Kebangsaan (MPN ) akan menyaksikan kerajaan menjimatkan RM200 juta gaji dan RM300 juta dalam kos pentadbiran, setiap tahun.

Wang itu kemudiannya boleh disalurkan kepada program pembangunan yang sangat diperlukan.

“Penjimatan daripada pembubaran semua entiti ini dapat mengurangkan perbelanjaan pengurusan sebanyak 2% yang meningkatkan perbelanjaan pembangunan,” kata Barjoyai kepada NST.

“Walaupun jumlah itu tidak banyak, ia adalah satu langkah positif dan satu tanda kerajaan cuba berjimat.”

Keputusan pentadbiran mengurangkan gaji semua menteri sebanyak 10% juga akan memberi penjimatan tambahan sebanyak RM3 juta, katanya dalam laporan itu.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membuat pengumuman menutup semua agensi itu sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan Pakatan Harapan mengurangkan perbelanjaan negara, yang didawak melonjak di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN)sebelum ini.

Keempat-empat agensi tersebut melibatkan 3,000 kakitangan, dengan yang paling banyak datang daripada JKKKP, yang terdiri daripada 1,677 ketua kampung di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

Dr Mahathir mendakwa beberapa badan seperti Jasa dan JKKKP digunakan oleh BN untuk aktiviti propaganda. – 24 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen