RAFIDAH Aziz yang berkempen untuk Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 memberikan nasihat terbaru kepada kerajaan baru itu: lupakan tempoh masa 100 hari untuk laksanakan 10 janji kerana ia tak praktikal.
Bekas menteri industri dan perdagangan antarabangsa itu berkata tidak banyak yang boleh dilakukan dalam tempoh 100 hari dan mendakwa janji itu hanyalah “cara Barat”.
“Lupakan tempoh masa 100 hari. Mengapa 100 hari? Mengapa tak setahun?”
“Awak tak boleh buat apa-apa dalam 100 hari. Jadi praktikal,” katanya dalam wawancara bersama stesyen radio BFM pagi tadi.
Katanya, akan ada perspektif yang lebih baik jika tempoh masa melunaskan janji tidak dihadkan kepada 100 hari.
Dalam manifesto pilihan raya, Buku Harapan, PH menyenaraikan 10 perubahan dasar utama yang akan dilakukan mereka dalam tempoh 100 hari berkuasa.
Rafidah berkata kerajaan baru boleh memenuhi janji itu jika ia memerlukan proses pelaksanaan singkat tetapi ada juga proses yang memerlukan jangka masa panjang untuk menyempurnakan 10 janji itu.
Dalam manifesto mereka, PH berjanji melakukan 10 perkara dalam 100 hari iaitu:
Menghapuskan GST dan mengurang kos sara hidup dengan pelbagai inisiatif peduli rakyat.
Menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.
Menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum.
Menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda.
Memperkenalkan skim caruman KWSP untuk suri rumah.
Menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam bergaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.
Memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan B40.
Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji, dan merombak semula struktur kepimpinan mereka.
Menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963.
Melancarkan kajian terperinci mengenai projek-projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing.
Baru-baru ini, Kementerian Kewangan mengatakan GST akan diletakkan pada kadar sifar pada 1 Jun di seluruh negara sehingga diberitahu kelak. – 24 Mei, 2018.
Komen