LEGASI bekas Perdana Menteri Najib Razak adalah sampah dan tidak sewajarnya dibandingkan dengan bapanya, Perdana Menteri Kedua Malaysia Abdul Razak Hussein, kata bekas menteri Rafidah Aziz.
Dalam wawancara bersama stesyen radio BFM hari ini, Rafidah berkata dua individu itu sangat berbeza dalam cara mereka mentadbir negara.
“Ayahnya meninggalkan legasi yang kita boleh banggakan kerana dia mulakan proses pembangunan selepas Tunku Abdul Rahman. Tetapi anaknya buat kacau,” kata Rafidah.
Rafidah yang merupakan menteri industri dan perdagangan antarabangsa dalam Kabinet Dr Mahathir Mohamad sebelum ini turun berkempen untuk Pakatan Harapan pada PRU14. Beliau dipecat daripada Umno kerana sokongan terbuka itu.
Rafidah mengatakan legasi Razak akan terus kekal sementara legasi Najib pula “memalukan dan penghinaan” kerana skandal yang dikaitkan dengan dirinya.
Beliau mengakui yang ramai berpandangan Najib lebih bertenaga dan berwawasan ketika mula-mula menerajui kepimpinan negara pada 2009 sebelum kecewa setelah skandal demi skandal timbul.
“Makin lama, dia mengecewakan kita semua.
“Tak adil heret Tun Razak bersama-sama Najib,” katanya.
Apabila ditanya apakah nasihatnya kepada Umno sekarang yang kini jadi pembangkang, Rafidah mengatakan beliau tiada lagi nasihat kerana Umno tahu salah mereka.
Barisan Nasional kalah teruk dalam PRU14 setelah lebih 60 tahun berkuasa.
Najib kini disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2011 berkaitan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dia dipanggil untuk soal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selasa lalu dan pusingan kedua soal siasat sedang berlangsung hari ini. – 24 Mei, 2018.
Komen