RM3 juta seorang. Itu habuan yang ditawarkan kepada ahli penyiasat yang dipecat pada 2015 supaya mereka menghentikan siasatan ke atas skandal kewangan rentas negara 1MDB, menurut laporan akhbar Straits Times hari ini.
Memetik sumber, akhbar itu melaporkan yang seorang ahli Parlimen Barisan Nasional ditugaskan untuk berunding dengan penyiasat supaya menghentikan siasatan melibatkan bekas Perdana Menteri Najib Razak itu.
“Ahli Parlimen itu sendiri membawa beg dipenuhi duit dan menawarkan kepada ketua saya. Syaratnya, ketua saya perlu menggugurkan kes itu,” kata sumber dipetik akhbar itu.
“Setelah semua usaha gagal, ketua saya disingkirkan. Gangguan berterusan dan ugutan bunuh bermula serta merta,” katanya lagi.
Sebelum ini, dalam sidang media penuh emosi, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru, Shukri Abdull mendakwa beliau dihubungi seorang ahli Parlimen yang digelar “King of Cash” supaya menamatkan siasatan wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib. SPRM percaya wang itu adalah wang seleweng harta negara dari SRC International yang merupakan anak syarikat 1MDB.
Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim ketika dihubungi Malaysia Decides untuk mengulas kenyataan Shukri menafikan mengetahui perkara itu. Rumah dan pejabat Azeez sudah diserbu SPRM.
Straits Times turut melaporkan yang “ahli Parlimen yang menjadi utusan” itu juga menasihati penyiasat supaya berpindah ke luar negara dengan semua perbelanjaan mereka dan keluarga ditanggung.
“Dia kata ‘ambil sahaja duit dan hidup mewah di luar negara. Kenapa bazir masa dan tenaga siasat kes ini? Dengan duit ini, awak boleh bina hidup baru.”
Selepas usaha mendiamkan ahli penyiasat gagal, sumber mendakwa ahli Parlimen itu “mengupah sekumpulan samseng negara seberang untuk menganggu penyiasat dan ahli keluarga mereka.”
Siasatan SPRM ketika itu tertumpu kepada wang berjumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib daripada SRC International, anak syarikat 1MDB. Najib mendakwa wang tersebut adalah derma seorang putera Arab Saudi, walaupun SPRM mendapati tiada bukti ia satu derma.
Siasatan pada 2015 itu terhenti apabila beberapa pegawai tinggi kerajaan termasuk Ketua SPRM Abu Kasim, Timbalan Ketua SPRM Mustafar Ali dan Shukri, Peguam Negara Abu Ghani Patail dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas Abdul Hamid Bador disingkirkan kerana peranan mereka dalam siasatan itu.
Susulan kejayaan Pakatan Harapan pada PRU14, SPRM kembali menyambung siasatan skandal 1MDB, SRC International dan Najib, bekas perdana menteri itu akan memberi keterangan kepada agensi pencegahan rasuah negara itu untuk kali kedua hari ini. – 24 Mei, 2018.
Komen