Kerajaan hanya berpolitik mengenai keadaan ekonomi, kata Najib


The Malaysian Insight

BEKAS Perdana Menteri Najib Razak menyelar pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang didakwanya berpolitik mengenai keadaan ekonomi.

Najib mengeluarkan kenyataan itu susulan pendedahan kerajaan bahawa firma 1Malaysia Development Berhad yang digagaskan bekas perdana menteri itu muflis dan kini tidak mampu membayar hutangnya.

Kenyataannya juga timbul susulan pengumuman langkah penjimatan kerajaan susulan pendedahan bahawa hutang yang ditanggung negara kini melebihi paras RM1 trilion.

“Anda juga boleh mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai 1MDB atau memberitahu sebahagian perkara sahaja untuk menyalahkan saya, tetapi masa untuk bermain politik sudah berlalu.

“Kata-kata yang diucapkan ketika berkuasa menyebabkan kerugian nyata kepada negara dan rakyat, seperti yang terbukti hari ini menerusi kejatuhan pasaran saham. Ia bukan lagi mengenai undi,” kata Najib di Facebook.

Tambahnya, pengumuman kerajaan bahawa rakyat Malaysia tidak harus bimbang mengenai penurunan taraf kredit negara akan menyebabkan kemerosotan keyakinan ke atas institusi negara.

Seterusnya, ia akan menyebabkan kos membayar hutang meningkat RM10 bilion setahun dan bank yang meminjam dari pasaran luar negara akan mengalami kerugian.

“Ia mungkin menyebabkan aliran keluar modal yang besar dari pelabur luar dan menyebabkan (nilai) ringgit merosot.”

Bekas presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional itu juga mendakwa kenyataan dari kerajaan PH tidak berlandaskan fakta kerana mendakwa hutang negara pada paras RM1 trilion tanpa memberi apa-apa butiran.

Menurutnya, dakwaan itu hanya akan membimbangkan agensi penarafan kredit dan keyakinan pelabur ke atas institusi negara seperti Bank Negara Malaysia.

Parti dipimpin bekas perdana menteri itu tewas dalam pilihan raya 9 Mei dan kini disiasat berhubung kerugian dialami syarikat 1Malaysia Development Berhad yang dicetuskannya.

Sejumlah besar wang, barang kemas dan barangan mewah ditemui di kondominium yang dikaitkan dengannya. – 24 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen