Pakatan tak boleh dibiarkan berkuasa tanpa dikritik, kata Rafizi


The Malaysian Insight

RAFIZI Ramli suka benar menongkah arus.

Ketika rakyat seolah putus harap dalam jangkaan suram keputusan pilihan raya tidak akan memihak kepada Pakatan Harapan (PH), beliau berusaha menyakini semua orang yang Barisan Nasional (BN) akan dikalahkan.

Sekarang dalam ledakan kegembiraan dan keseronokan Malaysia susulan kejayaan PH pada 9 Mei lalu, naib presiden PKR itu menggesa sikap hati-hati dan ragu-ragu terus wujud. Beliau mahu melihat dasar dan keputusan kerajaan baru memerintah terus dipersoalkan.

“Berbahaya untuk meneruskan kegembiraan ini sehingga apa sahaja yang dilakukan PH tidak boleh dikritik,” kata Rafizi, yang mungkin sedar kenyataan ini akan menerima tentangan rakyat yang masih sedang leka menikmati kemanisan kejayaan tsunami rakyat 9 Mei itu.

Tetapi, selama inipun beliau bukanlah susuk tanpa kontroversi.

Baru-baru ini beliau menimbulkan ribut media sosial kerana mendakwa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak mendapat persetujuan PKR dalam pelantikan tiga menteri kanan, Lim Guan Eng (kewangan), Muhyiddin Yassin (dalam negeri) dan Mohamad Sabu (pertahanan).

Kecaman yang diterima memuncak sehingga memaksa Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan yang parti itu menyokong keputusan Dr Mahathir.

Dalam wawancara terbaru dengan Malaysia Decides, Rafizi meluahkan rasa tidak senang kepada pengguna internet yang lantang mengecamnya tanpa memahami situasi sebenar.

Pengkritik paling lantang, katanya, adalah rakyat Malaysia yang tinggal bandar, kelompok kelas menengah yang bahasa perantara mereka adalah Bahasa Inggeris yang selalu merasakan mereka tahu semua perkara walaupun sebenarnya tidak memahami situasi sebenar.

“Ada ketikanya mereka ini seolah-olah berlagak,” kata bekas ahli Parlimen Pandan itu.

Katanya, beliau yakin sedikit masa lagi pengkritik ini akan menyedari situasi sebenar apabila “lebih banyak perkara didedahkan”, dan pandangan awam akan berkalih kepadanya.

“Mungkin dua tahun lagi, mereka dalam diam akan menyedari yang mungkin sebenarnya saya betul, tetapi tiada sesiapa akan mengakuinya.

“Itulah keistimewaan jadi pengguna internet. Awak boleh jadi macam ini hari ini, jadi lain esok, jadi lain lusa, tanpa bertanggungjawab kepada sesiapa ketika awak tweet dan kata apa yang awak mahu.

“Orang seperti saya ada tanggungjawab awam yang tidak boleh tunduk kepada kecaman. Selagi mana saya ada tugas awam, saya akan meluahkannya,” katanya.

Kini, selepas ribut komentarnya tentang Dr Mahathir semakin reda, Rafizi berkata beliau masuk campur dalam pelantikan kabinet kerana PH tidak kebal daripada kritikan.

Beliau menarik perhatian ramai apabila dikatakan dalang Langkah Kajang 2014. Pergolakan politik itu melibatkan penyingkiran Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor, pencalonan Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam pilihan raya kecil kerusi negeri bagi melantiknya sebagai ketua menteri negeri terkaya Malaysia itu.

Rafizi dikecam hebat kerana cuba menyingkirkan Khalid.

Tetapi semakin lama rakyat semakin kenal Khalid yang baru-baru ini berkempen untuk BN.

Sekarang, mereka menghargai peranan Rafizi dalam Langkah Kajang.

Rafizi berharap satu masa nanti, mereka yang mengecamnya kerana mempersoal pilihan kabinet Dr Mahathir akan memahami bantahannya dan mengakui- walau dalam diam- yang beliau buat keputusan yang betul. – 24 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen