Tarikh siasatan aktivis hilang dipercepat


The Malaysian Insight

TARIKH sesi pendengaran siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) terhadap kehilangan empat aktivis akan dipercepatkan berikutan satu laporan mengatakan pasukan rahsia dari ibu pejabat polis Persekutuan bertanggungjawab ke atas penculikan sekurang-kurangnya dua daripada mereka.

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai yang mengetuai panel siasatan berkata mereka akan memanggil Norhayati Mohd Ariffin, isteri kepada aktivis Perlis yang hilang, Amri Che Mat dan pemberi maklumatnya yang dikatakan seorang pegawai polis.

Awal bulan ini, Norhayati membuat laporan polis mendakwa satu pasukan yang diketuai oleh pegawai kanan Cawangan Khas Bukit Aman bertanggungjawab ke atas penculikan suaminya dan Pastor Raymod Koh.

Dalam kenyataannya kepada polis, Norhayati menamakan pegawai kanan tersebut dan lelaki yang mendakwa dirinya seorang pegawai polis.

Susulan laporan Norhayati itu, Ketua Sekretariat Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), Asisten Komisioner Asmawati Ahmad mengesahkan menerima laporan polis mengenai kehilangan mereka.

“Satu siasatan menyeluruh sedang dijalankan. Kami menggesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya.

Mah memberitahu Malaysia Decides, individu yang memberi maklumat kepada Norhayati juga akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam sesi pendengaran yang akan dipercepatkan dari tarikh awal 25 Jun kepada 30 dan 31 Mei ini.

“Pendedahan ini perlu disiasat segera. Sebab itulah pendengaran akan dipercepatkan,” kata Mah.

Apabila ditanya apakah Suhakam akan memanggil pegawai kanan Cawangan Khas yang didakwa mengetuai operasi itu, Mah berkata beliau akan menyerahkan kepada penyiasat suruhanjaya berkenaan.

Norhayati mendakwa, pada 12 Mei lalu seorang lelaki yang mendakwa dirinya seorang pegawai polis dan menunjukkan kad yang kelihatan seperti kad kuasa polis telah datang ke rumahnya di Perlis dan memberitahu bahawa Amri diculik oleh sekumpulan polis dari Bukit Aman. Lelaki itu memberitahu kumpulan itu adalah kumpulan sama yang menculik Koh.

Amri adalah seorang aktivis dan peniaga forex, didapati hilang pada 24 November 2106 selepas keluar dari rumah untuk bertemu rakannya.

Dia dipercayai diculik menggunakan kenderaan 4WD yang dilihat menghadang keretanya di Kampung Padang Behor.

Koh pula diculik pada 13 Februari tahun lepas oleh beberapa lelaki yang menaiki SUV hitam. Semenjak itu, Koh masih belum ditemui.

Suhakam sedang menjalankan pendengaran awam ke atas kehilangan Amri, Koh dan Pastor Joshua serta isterinya, Ruth Hilmy.

Matlamat utama siasatan ini ialah bagi menentukan sama ada kes-kes ini melibatkan pihak berkuasa. – 24 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen