Khalid Samad, Mujahid bakal sertai Kabinet


The Malaysian Insight

DUA lagi pemimpin Amanah, Khalid Samad dan Mujahid Yusuf bakal dilantik menganggotai Kabinet Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad, kata satu sumber yang mengetahui tentang perkara itu.

Sumber itu berkata, nama Khalid dan Mujahid berada dalam pertimbangan perdana menteri untuk dilantik bagi melengkapkan saki baki anggota Kabinetnya.

“Khalid akan diberikan jawatan menteri kerja raya kerana dirasakan sesuai berdasarkan kerjaya profesionalnya sebagai seorang jurutera.

“Manakala Mujahid pula walaupun mempunyai latar belakang pengajian Islam tetapi cukup berpengalaman dalam dialog antara agama dan dirasakan sesuai menjawat jawatan menteri luar,” kata sumber itu kepada Malaysia Decides dengan syarat tidak dinamakan.

Khalid merupakan lulusan kejuruteraan bahan api dan tenaga daripada Leeds University di United Kingdom.

Manakala Mujahid pula mempunyai ijazah sastera bahasa Arab daripada Universiti Al-Azhar, Mesir, ijazah sarjana pengurusan sumber manusia daripada Universiti Putra Malaysia dan ijazah kedoktoran siasah syariah daripada Universiti Malaya.

Sejak mula-mula menjadi ahli Parlimen selepas memenangi kerusi Parlimen Parit Buntar pada 2008 ketika masih merupakan seorang pemimpin PAS, Mujahid sudah memulakan dialog antara pelbagai agama di Malaysia seperti Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain.

Seorang lagi sumber PH memberitahu Malaysia Decides, baki dua kementerian ini merupakan terakhir bakal diterima Amanah dalam Kabinet Dr Mahathir yang dikatakan hanya mempunyai 25 portfolio.

“Setakat ini memang kementerian kerja raya dan kementerian luar akan diberikan kepada Amanah.

“Baki kementerian lain kebanyakannya akan diberikan kepada parti Warisan dari Sabah dan pemimpin PKR dari Sarawak. Akan tetapi, keputusan akhir berada di tangan perdana menteri,” kata sumber yang turut tidak mahu dinamakan itu.

Dr Mahathir mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang pertama di Perdana Putra di Putrajaya pada Rabu.

Mesyuarat yang bermula pada pukul 9.25 pagi itu dihadiri kesemua 13 menteri yang mengangkat sumpah pada Isnin lepas.

Sebelum mesyuarat Kabinet itu bermula, Dr Mahathir menyertai sesi bergambar bersama jemaah menteri.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Negara Dr Ali Hamsa dan Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet Mazidah Abdul Majid.

Ini merupakan mesyuarat kabinet pertama setelah PH yang dipimpin Dr Mahathir memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei.

Dr Mahathir, 93, kembali menerajui negara selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia berikutan kemenangan PH itu, sekali gus menjadi perdana menteri tertua di dunia.

Beliau sebelum ini merupakan perdana menteri Malaysia keempat dan menerajui tampuk pemerintahan negara selama 22 tahun dari 1981 sehingga 2003. – 24 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen