KEADAAN kewangan Sabah tidak bagus seperti yang dilaporkan oleh bekas ketua menteri dan Presiden Barisan Nasional (BN) negeri, Musa Aman sebelum ini, kata Timbalan Ketua Menteri Christina Liew.
Beliau berkata inilah sebabnya mengapa Ketua Menteri Shafie Apdal terpaksa memegang portfolio kewangan, sehinggalah semua masalah yang wujud semasa kerajaan BN sebelum ini dipulihkan.
Keadaan kewangan negeri tidaklah sebagus seperti yang anda fikir atau yang diberitahu oleh ketua menteri dahulu (Musa Aman).
“Apabila Shafie menghadiri taklimat kementerian kewangan, pegawai memberitahu beliau kewangan negeri tidak sebagus yang diberitahu kepada rakyat Sabah.
“Jadi Shafie bimbang mengenai perkara ini. Saya tidak meragui kebolehan ketua menteri sebagai menteri kewangan.
“Saya tidak ada masalah dengannya (Shafie sebagai menteri kewangan). Tidak akan ada jangkaan masa kerana siapa tahu apa yang berlaku dalam kementerian , hanya Shafie saja yang tahu buat masa ini,” beliau memberitahu wartawan semasa majlis berbuka puasa malam ini.
Tanpa mengulas lanjut mengenai masalah yang dihadapi kementerian kewangan negeri, Liew berkata Shafie hanya akan memegang jawatan menteri kewangan buat sementara waktu dan akan menyerahkannya kepada orang lain apabila tiba masanya.
Shafie telah mempertahankan alasan memegang jawatan tersebut walaupun menerima kritikan dan satu petisyen mendesak beliau melepaskan jawatan itu diadakan. – 23 Mei, 2018.
Komen