Jawatankuasa Reformasi Institusi mulakan dialog Isnin


The Malaysian Insight

JAWATANKUASA Reformasi Institusi akan mula mengadakan dialog awam bersama pihak berkepentingan dan NGO pada Isnin depan, kata ahli jawatankuasanya, Mah Weng Kwai.

Mah, yang juga bekas hakim Mahkamah Rayuan berkata kertas kerja mengenai dialog itu telah diterima dari beberapa kumpulan seperti Bersih 2.0 dan G25.

“Kami sedang meneliti pelbagai kertas kerja dan menetapkan tarikh serta jadul untuk mengadakan dialog dengan individu dan kumpulan ini bermula 28 Mei ini,” Mah memberitahu wartawan di Menara Ilham di Kuala Lumpur petang tadi.

Ahli jawatankuasa lain termasuk bekas hakim Mahkamah Rayuan KC Vohrah, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brig Jen (B) Mohamed Arshad Raji, pakar perlembagaan Prof Emeritus Dr Shad Saleem Faruqi dan Presiden Hakam Ambiga Sreenevasan.

Jawatankuasa ini akan memberi tumpuan kepada institusi utama seperti Pejabat Peguam Negara, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, agensi penguatkuasaan seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Mereka mempunyai 60 hari untuk membuat saranan kepada kerajaan, yang mana mungkin termasuk pemansuhan atau pindaan undang-undang yang dianggap memberi kuasa kepada cawangan eksekutif kerajaan.

Jawatankuasa ini akan menyerahkan laporan kepada Majlis Penasihat Kerajaan. – 23 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen