LOKMAN Adam membuat laporan polis terhadap ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Shukri Abdull kerana gagal melaporkan kepada pihak berkuasa cubaan merasuah dirinya tiga tahun lalu.
Bekas pengarah komunikasi strategik Kementerian Kewangan itu merujuk kepada pendedahan Shukri semalam yang mendakwa ada pihak mengugut dan mengganggu beliau dan pasukannya supaya mereka menghentikan siasatan SPRM ke atas kes duit RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak.
Kata Lokman, kegagalan Shukri melaporkan cubaan merasuah dirinya, semasa masih penjawat awam, adalah satu kesalahan di Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Tiada timbul istilah takut sebab akta perlindungan saksi ada dan dia boleh memohon perlindungan saksi,” katanya dalam satu kenyataan selepas membuat laporan polis itu, hari ini.
Lokman, yang menamakan dirinya sebagai pemantau kerajaan baru Malaysia, membuat laporan polis di Balai Polis Kelana Jaya pukul 6 petang tadi.
Shukri dalam pendedahannya semalam berkata beliau dua kali didatangi seorang “ahli Parlimen dari Utara” yang cuba menganggu siasatan SPRM berkenaan kes itu, dengan bertanya kepada beliau apa yang beliau mahu sebagai ganjaran menghentikan siasatan itu.
Lokman yang menyifatkan cerita Shukri itu “politik dendam” berkata, pendedahan ketua SPRM itu adalah subjudis kerana kes masih disiasat dan boleh menimbulkan prejudis kepada Najib.
“Tidak semua rakyat boleh terima cerita dongeng Dato Sri Shukri ini,” katanya.
Sabit kesalahan gagal melaporkan cubaan rasuah mengikut Seksyen 25 Akta SPRM boleh membawa hukuman dengan tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Lokman juga menuduh perlantikan Shukri mengetuai SPRM bertujuan untuk membalas dendam dan memastikan Najib masuk penjara, manakala kedaulatan undang-undang yang dilaungkan oleh Dr Mahathir hanya untuk penentang Pakatan Harapan.
Menteri Dalam Negeri yang baru, Muhyiddin Yassin semalam meminta Shukri membuat laporan polis. Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun juga berkata polis akan meneliti pendedahan Shukri. – 23 Mei, 2018.
Komen