Pemandu Uber mengaku tak bersalah tuduhan cabul penumpang


Looi Sue-Chern

SEORANG pemandu Uber Muhammad Sukri Ramli mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang hari ini atas tuduhan mencabul seorang penumpang warga Vietnam pada 6 Jun.

Sukri, 30, yang juga bekerja sebagai penyelia di sebuah hotel di Tanjung Bungah, didakwa melakukan kesalahan itu pada Selasa lalu selepas mengambil mangsa berusia 43 tahun pada jam 4 petang.

Pada hari kejadian mereka menuju ke Jalan Argyle dari Lintang Paya Terubong apabila tertuduh kemudiannya membuka seluar menunjukkan kemaluannya dan meletakkan tangan mangsa di situ.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman.

Tertuduh berasal dari Sungai Nibong dan mempunyai seorang anak tidak diwakili peguam.

Dia hanya memohon supaya ikat jamin dikurangkan selepas Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM10,000.

Nurul Izzah juga memohon jaminan yang tertuduh tidak akan menghampiri mangsa.

Majistret Catherine Nicholas membenarkan ikat RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Julai untuk sebutan kes.

Majistret juga memberitahu Sukri supaya melantik peguam.

“Setiap Isnin, anda perlu melaporkan diri di balai polis Sungai Nibong sehingga kes ini selesai,” katanya.

Difahamkan, mangsa memberitahu suaminya mengenai insiden itu yang kemudian mengarahkannya menghubungi pemandu terbabit keesokan harinya.

Esoknya, suami mangsa dan beberapa yang lain memukul tertuduh dan merosakkan keretanya menyebabkan tertuduh dimasukkan ke hospital.

Khamis lalu, polis menahan reman wanita Vietnam terbabit, suaminya warga Malaysia dan beberapa yang lain untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan bersenjata. – 13 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen