JUMLAH wang tunai yang dirampas di unit kondominium yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak di Pavilion Residences minggu lepas adalah kira-kira RM120 juta, lapor The Star.
Memetik kenyataan pegawai yang tidak dinamakan dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), laporan itu menyebut proses mengira yang bermula Isnin lepas melibatkan 30 beg wang tunai.
“Pegawai polis mengira 30 beg wang tunai dibantu oleh pegawai Bank Negara. Jumlahnya adalah kira-kira RM120 juta,” kata sumber dipetik The Star.
Bagaimanapun, Pengarah JSJK Amar Singh dilaporkan tidak mengulas mengenai jumlah tersebut. Beliau berkata akan mengadakan sidang media bagi memberi maklumat mengenai rampasan itu yang dilakukan sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas 1MDB.
Wang rampasan itu dikira di pejabat JSJK di Menara 238 di Jalan Tun Razak.
Proses ini mengambil masa yang lama kerana nombor siri pada setiap wang itu perlu dicatit.
Laporan The Star juga menyebut wang tunai itu akan disimpan di Bank Negara.
Wang itu adalah antara sebahagian rampasan yang melibatkan 284 beg tangan mewah dan beg lain yang berisi wang tunai, jam tangan dan barang kemas. – 23 Mei, 2018.
Komen