JUTAWAN dan ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Robert Kuok bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Perdana Putra di Putrajaya hari ini.
Gambar pertemuan antara Dr Mahathir, 93 dan Kuok, 94, dimuatkan di laman Facebook Dr Mahathir.
Dalam masa kira-kira setengah jam, gambar itu menerima 20,000 reaksi dan dikongsi 2,100 pengguna.
Ahli perniagaan yang tinggal di Hong Kong itu kembali ke Malaysia pada minggu ini. Semalam, Kuok menghadiri mesyuarat pertamanya dengan ahli Majlis Penasihat Kerajaan yang lain di Menara Ilham, di mana mereka membincangkan tentang subsidi minyak.
Bercakap kepada media kemudian, Kuok memberitahu rakyat Malaysia bahawa Majlis itu boleh dipercayai kerana ia terdiri daripada “rakyat Malaysia yang sangat bagus”.
Majlis yang ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan itu ditugaskan untuk menasihati kerajaan dalam pembuatan dasar, melaksana manifesto pilihan raya dan urusan perniagaan.
Ia diketuai oleh bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.
Majlis ini turut dianggotai bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden Petronas Hasan Merican dan pakar ekonomi Dr jomo Kwame Sundaram. – 23 Mei, 2018.
Komen